RESPON TERHADAP KEBIMBANGAN MENGENAI PINDAAN AKTA 342
Pindaan kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) merupakan satu langkah penting yang sedang diperhalusi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memperkukuhkan kawalan penyakit berjangkit di negara ini. Bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta 342 dijadualkan dibentangkan di Dewan Negara pada hari ini. Usaha ini hadir dengan matlamat untuk memperbaiki undang-undang sedia ada bagi memastikan Malaysia lebih bersedia menghadapi ancaman penyakit berjangkit pada masa depan.
Kuasa yang diberikan kepada Ketua Pengarah Kesihatan adalah terhad kepada kawalan penyakit berjangkit. Semua keputusan dibuat melalui perbincangan dengan jawatankuasa yang melibatkan pakar kesihatan awam, pakar penyakit berjangkit, dan penasihat undang-undang. Tindakan yang diambil sentiasa sejajar dengan dasar dan strategi kesihatan awam negara, memastikan setiap keputusan adalah telus dan adil.
Pegawai yang diberi kuasa dilantik mengikut kriteria ketat dan menjalani latihan khusus. Langkah-langkah seperti pemantauan berterusan, penggunaan kamera badan, dan garis panduan yang jelas memastikan integriti dalam pelaksanaan tugas. Sebarang salah guna kuasa boleh dilaporkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan untuk tindakan lanjut.
Arahan pemakaian peranti pengesanan bersifat sementara dan berdasarkan penilaian risiko yang teliti. Langkah ini bertujuan memastikan pematuhan terhadap arahan pengasingan dan pengawasan bagi mencegah penularan penyakit berjangkit. Arahan ini sentiasa dirujuk kepada garis panduan yang ketat untuk memastikan perlaksanaannya tidak melanggar hak individu.
Peningkatan kadar kompaun mencerminkan keperluan untuk menambah baik pematuhan terhadap peraturan kesihatan awam. Had maksimum RM5,000 adalah untuk kesalahan serius, dan penalti yang dikenakan akan mengambil kira keadaan individu yang terlibat. Pendekatan ini lebih bersifat mendidik berbanding menghukum.
Langkah-langkah yang diperkenalkan adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, yang membenarkan sekatan tertentu demi kesihatan awam. Tindakan pendidikan terus diberikan keutamaan bagi memastikan masyarakat memahami peraturan kesihatan awam dan kepentingannya.
Pengalaman pandemik COVID-19 menunjukkan betapa pentingnya langkah pencegahan dan kawalan yang tegas untuk melindungi kesihatan awam. Penularan pantas virus tersebut menyebabkan tekanan besar kepada sistem kesihatan dan kerugian ekonomi yang sangat ketara. Tanpa penguatkuasaan yang mencukupi, pandemik ini boleh menjadi lebih sukar untuk dikawal. Langkah-langkah proaktif seperti yang diperkenalkan melalui pindaan Akta 342 adalah kritikal untuk memastikan negara lebih bersedia menghadapi ancaman penyakit berjangkit pada masa depan, sambil melindungi kesejahteraan kesihatan dan ekonomi rakyat.
Pindaan Akta 342 adalah langkah strategik yang penting untuk memastikan negara bersedia menangani ancaman penyakit berjangkit dengan lebih berkesan. Ia bukan sahaja melindungi kesihatan awam tetapi juga memastikan penguatkuasaan yang telus, adil, dan seimbang. Langkah ini turut menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang lebih sihat dan selamat untuk semua.
Sekian, terima kasih.
PROF. DR. JAMALLUDIN BIN AB RAHMAN
Presiden
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia
2 Disember 2024
Download pdf file here: Kenyataan Media RESPON TERHADAP KEBIMBANGAN MENGENAI PINDAAN AKTA 342