Sokongan Penetapan Kenaikan Harga Jualan Rokok Selepas Perlaksanaan Cukai Perkhidmatan Dan Jualan (SST)

Kerajaan Malaysia Kerajaan  Malaysia telah memperkenalkan  Cukai Perkhidmatan dan Jualan  (Sales and Service Tax) SST bermula 1 September 2018.  Pengenaan SST ini adalah merangkumi semua jenis produk tembakau termasuk rokok.

Di bawah Seksyen 2 (1),  Perintah Cukai Jualan (Kadar Cukai) 2018, kadar cukai jualan yang hendak dikenakan dan dilevikan hendaklah  pada 10% ke atas barangan. Di bawah Seksyen 2 (2), Perintah Cukai Jualan (Kadar Cukai) 2018, terdapat sejumlah barangan yang telah ditetapkan peratusan kepada 5% dan peratusan lain yang ditetapkan. Jelas di bawah Perintah ini, peratusan cukai jualan yang telah ditetapkan adalah sebanyak 10% bagi produk tembakau termasuk rokok.

Di bawah Peraturan –Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004), Peraturan 8A berkaitan Harga Jualan Runcit, menyatakan  semua harga jualan runcit bagi produk tembakau  hendaklah mendapat kelulusan dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Peraturan 2A dan Peraturan 2B, PPKHT 2004  jelas menyatakan bahawa setiap  berlakunya apa-apa perubahan cukai eksais atau apa-apa cukai yang berkaitan, harga hendaklah dinaikkan dengan kuantum kenaikan cukai yang dikenakan.

Oleh kerana itu, semua produk tembakau termasuk rokok perlu dinaikkan kepada 10% cukai jualan yang dikenakan. Namun begitu, terdapat desakan daripada syarikat dan industri rokok yang cuba mengelak kenaikan cukai jualan  seperti mana yang ditetapkan. Ia adalah jelas seperti petikan siaran media dari  akhbar Malay Mail (rujuk Lampiran).

Petikan tersebut mendesak pihak Kementerian  Kesihatan Malaysia untuk  membuat semakan semula harga rokok dan produk tembakau yang TIDAK TURUNapabila pengenaan GST pada kadar sifar pada Jun 2018. Oleh itu, boleh disimpulkan daripada penyataan JTI ini adalah pihak KKM diminta untuk  meluluskan harga jualan rokok melalui Perintah Cukai Jualan (Kadar Cukai) 2018 dikenakan 10% cukai jualan berdasarkan harga ditolak kadar GST sifar, iaitu hanya kenaikan 4% berbanding 10%.

Pihak Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) TIDAK BERSETUJUdan mendesak  KKM agar menetapkan 10% sebagaimana Pewartaan Perintah Cukai Jualan 2018. Pada masa yang sama pihak PPPKAM  menyokong penuh pendirian Kementerian Kesihatan Malaysia yang telah menetapkan harga rokok pada Jun 2018 ketika GST di kadar sifar kerana   produk tembakau termasuk rokok  adalah  BUKAN BARANGAN KEPERLUANdan harga sememangnya tidak boleh turun bagi membendung kebolehdapatan pengguna.

Pihak PPPKAM mendesak Kementerian Kesihatan Malaysia agar menetapkan kenaikan harga jualan rokok kepada 10% cukai jualan seperti yang diwartakan dan tidak mengikut kehendak industri sepertimana penyataan di siaran media.

Antara faktor kenaikan harga rokok perlu ditetapkan di kadar 10% adalah :

  1. Syarikat rokok telah mendapat keuntungan hasil daripada 6% GST yang telah ditetapkan pada kadar sifar sepanjang “Tax Holiday”  dan adalah tidak munasabah pengenaan cukai ditolak dan ditetapkan pada kadar  yang lebih rendah.
  2. Pengenaan cukai 10% dan kenaikan yang lebih akan membantu meningkatkan kadar peratusan cukai kepada harga jualan runcit  sebanyak 70% sepertimana ditetapkan oleh  Artikel 6, WHO Framework Convention on Tobacco Control. Kadar pada ketika ini adalah sebanyak 47%.
  3. Alasan syarikat rokok untuk tidak menaikkan harga rokok bagi mengurangkan beban rakyat adalah TIDAK BOLEH diterima kerana produk ini terbukti membunuh lebih separuh daripada penggunanya .
  4. Syarikat rokok seringkali membangkitkan kenaikan harga rokok akan menyebabkan masalah penggunaan rokok tidak sah adalah  TIDAK  MUNSABAH  kerana PPPKAM berpendirian bahawa isu rokok tidak sah perlu ditangani secara berasingan dan penguatkuasaan perlu diperketatkan oleh pihak Kastam Diraja Malaysia dan  Kementerian yang terlibat.
  5. Syarikat rokok mengelak untuk kenaikan harga rokok dengan alasan peningkatan rokok tidak sah juga TIDAK MUNSABAHsedangkan  pemantauan harga rokok dan kenaikan yang telah dibuat menunjukkan syarikat sendiri yang menaikan harga bagi keuntungan.

Sekian, terima kasih.

BERBAKTI KE ARAH KESEJAHTERAAN MASYARAKAT

 

DATO’ DR ZAINAL ARIFFIN BIN OMAR

Presiden,
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM)
7 September 2018.

Similar Posts