| |

RANG UNDANG-UNDANG PERUBATAN (PINDAAN) 2024: KUALITI LATIHAN KEPAKARAN DAN PEMATUHAN STANDARD KOMPETENSI PERLU DIBERIKAN PENEKANAN SEWAJARNYA

Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) menyambut baik Rang Undang-Undang (RUU) Perubatan (Pindaan) 2024 yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 17 Julai 2024 dengan beberapa kebimbangan.

Sebagai satu persatuan yang mewakili Pakar Perubatan Kesihatan Awam (PPKA) di Malaysia, PPPKAM berharap pindaan kepada Akta Perubatan ini menekankan kepada kualiti latihan kepakaran serta pematuhan kepada standard kompetensi, khususnya Specialty-specific Requirements (SSR) bagi bidang Perubatan Kesihatan Awam, yang telah diluluskan oleh Malaysian Medical Council pada 22 Ogos 2023.

Objektif pindaan akta ini akan dilihat lebih jelas setelah segala peraturan yang berkaitan disiapkan. Apabila keperluan akreditasi MQA dikeluarkan daripada penilaian kualiti latihan, PPPKAM berharap agar wujud satu badan bebas lain yang mempunyai kebolehan dan reputasi untuk menilai dan mengiktiraf latihan kepakaran dengan telus dan sama rata.

Adalah penting bagi setiap PPKA yang diterima pendaftaran dalam National Specialist Register (NSR) mempunyai kompetensi yang relevan dan terkini, serta mampu melaksanakan semua kompetensi yang dinyatakan dalam SSR, bagi memastikan perkhidmatan kepakaran kesihatan awam di Malaysia tidak tergugat. Negara berdepan dengan beban penyakit berjangkit dan tidak berjangkit yang makin serius. PPKA harus berupaya untuk melaksanakan fungsi mereka untuk mencegah dan mengawal apa-apa masalah kesihatan awam.

Justeru, PPPKAM gusar sekiranya ada kelayakan yang tidak mampu mencapai kompetensi yang dinyatakan dalam SSR tersenarai dalam Jadual 4 tanpa ada bentuk penilaian semula. Setiap kelayakan dalam Jadual 4 harus mempunyai tempoh sah mengikut proses penilaian semula bagi memastikan standard dan kualiti latihan kepakaran sentiasa terjaga.

Pada masa yang sama, PPPKAM melihat sisi positif pindaan ini yang memungkinkan pengkhususan dalam bidang sub kepakaran kesihatan awam, seterusnya meningkatkan kepakaran dalam menghadapi pelbagai cabaran kesihatan awam di Malaysia. Namun, adakah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersedia untuk menggunakan semua bidang sub-kepakaran ini dengan sebaiknya dalam sistem perjawatan sedia ada?

Sangat jelas betapa cepat pindaan ini boleh dilakukan setelah mendapat sokongan dan perhatian dari kementerian dan agensi terbabit serta dari pucuk pimpinan negara. Justeru, PPPKAM berharap perhatian dan sokongan yang sama boleh diberikan kepada Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.

 
PROF. DR. JAMALLUDIN BIN AB RAHMAN
Presiden
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia
19 Julai 2024

Muat turun artikel di Kenyataan Media RUU PERUBATAN (PINDAAN) 2024

Similar Posts