CADANGAN PEMBUKAAN SEMPADAN NEGERA DAN MEMPERKASAKAN PENGUATKUASAAN PEMERIKSAAN KESIHATAN DI SEMPADAN NEGARA
Meskipun kes positif COVID-19 terus meningkat, dan ramai yang merasakan bahawa
idea untuk membuka sempadan negara buat masa ini tidak wajar, PPPKAM
berpendapat bahawa perkara ini harus dipertimbang dengan keperluan lain agar
kesejahteraan rakyat dan negara akan terus pulih dan bertambah baik. Oleh kerana itu
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) merasakan
cadangan pembukaan sempadan negara bermula 1 Mac 2022 adalah perlu untuk
mengelakkan sektor-sektor utama lain terutamanya ekonomi kekal terkesan serta boleh
bangkit dan pulih.
Ini adalah berdasarkan perkembangan semasa data epidemiologi yang menunjukkan
kemampuan sistem kesihatan negara dalam menangani penularan wabak COVID-19
sebagaimana kenyataan media oleh YB Menteri Kesihatan Malaysia bertarikh 7
Februari 2022.
Jelas bahawa program vaksinasi dan pengambilan suntikan dos penggalak di Malaysia
sedang berada di tahap yang memberangsangkan dengan seramai 78.8% penduduk
Malaysia berumur 12 tahun dan ke atas telah menerima dos lengkap vaksin COVID-19
dan 52.8% penduduk Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas telah menerima dos
penggalak vaksin COVID-19.
Berdasarkan data terkini, dos penggalak memberi perlindungan dan mereka yang
menerima vaksin lengkap masih lagi pada asasnya mendapat perlindungan yang lebih
baik terhadap gejala dan komplikasi teruk COVID-19. Data harian menunjukkan individu
yang belum divaksin adalah 9 kali lebih berkemungkinan untuk dijangkiti dan 62 kali
lebih berkemungkinan mengakibatkan kematian akibat COVID-19 berbanding individu
yang telah lengkap vaksin atau telah mengambil dos penggalak.
Ini turut disokong dengan data yang menunjukkan kebanyakan kes juga merupakan kes yang tidak bergejala atau bergejala ringan, dalam kategori klinikal 1 dan 2 dan daripada
jumlah kes pada Minggu Epid 5, sebanyak 42,727 (99.2%) adalah kategori 1 & 2; dan
hanya 335 (0.8%) adalah kategori 3 hingga 5.
Ketersediaan katil ICU juga pada tahap yang memuaskan dengan kadar penggunaan
katil ICU adalah 14% dan tidak membebankan buat masa ini.
Namun begitu, PPPKAM turut berharap agar beberapa langkah penambahbaikan
dalam memperkasakan penguatkuasaan pemeriksaan kesihatan di pintu-pintu masuk
sempadan negara turut diteliti dengan lebih lanjut terutamanya:
1. Memastikan kesiapsiagaan dan bilangan pegawai bertugas mencukupi bagi
mempercepatkan proses pemeriksaan kesihatan dapat dilaksanakan dengan
lebih pantas dan teratur.
2. Sistem pengurusan sijil vaksinasi melalui MySejahtera perlu diperkasakan
agar lebih pantas dan responsif bagi menampung pertambahan pelancong yang
ingin mendapatkan maklumat dan penjelasan lanjut berkaitan sijil vaksinasi.
3. Pelancong mempunyai akses kepada informasi SOP terkini dan lengkap
termasuk jenis vaksinasi yang diterima pakai bagi memasuki Malaysia serta
arahan semasa kerajaan Malaysia yang sedang berkuatkuasa pada satu-satu
masa.
4. Petugas barisan hadapan dipintu-pintu masuk hendaklah terlatih, mempunyai
pengetahuan terkini berkaitan polisi dan SOP serta konsisten didalam
menangani peningkatan jumlah pengembara apabila sempadan di buka.
Sekian.
“BERBAKTI KE ARAH KESEJAHTERAAN MASYARAKAT”
PROF. DR. MOHAMED RUSLI BIN ABDULLAH
Presiden
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia
Pakar Perunding Kanan Epidemiologi (USM)
9 Februari 2022
4.00 petang