| |

KEBIMBANGAN TERHADAP IMPLIKASI JANGKA PANJANG BAGI ISU PENGELUARAN SEDIAAN CECAIR ATAU GEL MENGANDUNGI NIKOTIN UNTUK TUJUAN MEROKOK MENGGUNAKAN ROKOK ELEKTRONIK ATAU PERANTI PENGEWAPAN ELEKTRONIK DARI SENARAI RACUN DI DALAM JADUAL PERTAMA AKTA RACUN 1952 [AKTA 366]

KENYATAAN MEDIA

Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) ingin menzahirkan kebimbangan terhadap isu pengeluaran sediaan cecair atau gel mengandungi nikotin untuk tujuan merokok menggunakan rokok elektronik atau peranti pengewapan elektronik dari Senarai Racun di dalam Jadual Pertama Akta Racun 1952 [Akta 366] seperti yang diumumkan oleh YB Menteri Kesihatan pada 31 Mac 2023. PPPKAM juga turut mengambil maklum Kenyataan Media YB Menteri pada 1 April 2023 berkenaan perancangan untuk membentangkan Rang Undang-undang baharu yang akan mengawal selia semua produk merokok termasuk rokok elektronik ataupun vape pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua Parlimen pada Mei 2023.

PPPKAM ingin menarik perhatian kepada kesan buruk dari nikotin. Penggunaan nikotin secara berpanjangan akan menyebabkan ketagihan yang berkait rapat dengan kesan kepada otak manusia. Ketagihan nikotin semasa remaja amat berbahaya kerana zaman remaja adalah masa kritikal untuk perkembangan otak. Pada masa ini, kajian menunjukkan rokok elektronik ataupun vape telah menjadi pilihan golongan muda masa kini. Kajian TECMA (Tobacco and E-Cigerette Survey among Malaysian Adolescents) pada tahun 2016 telah menunjukkan 9.1% remaja menggunakan rokok elektronik ataupun vape, dan telah meningkat kepada 9.8% setahun kemudian berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi, 2017. Dijangka pada masa ini peratusan ini telah meningkat dengan lebih tinggi.

Oleh itu, PPPKAM amat berharap Rang Undang-undang kawalan rokok yang akan dibentangkan pada Mei ini mendapat sokongan semua dan diluluskan demi kesejahteraan generasi muda kita. Kesan kesihatan dari nikotin bukan hanya kepada pengguna, malah akan melibatkan keluarga dan orang sekeliling yang terdedah kepadanya. Implikasi nikotin ini amat besar terhadap kesihatan yang kronik dan seterusnya akan memberi implikasi kewangan untuk kos rawatan yang berpanjangan.

PROF. DR. MOHAMED RUSLI BIN ABDULLAH
Presiden
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM)
2 April 2023

Similar Posts