|

Kebimbangan Terhadap Pemberian Lesen Interim Pertama Pembuatan Nikotin kepada Syarikat Vape Asing di Malaysia

Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) ingin menyatakan kebimbangan yang amat serius terhadap keputusan kerajaan meluluskan lesen interim pertama bagi pembuatan nikotin di Malaysia kepada sebuah syarikat asing berpangkalan di Amerika Syarikat, Ispire Technology Inc., yang turut terlibat dalam penghasilan produk vape berasaskan ganja.

Perkembangan ini bukan sahaja boleh menjejaskan kesihatan awam sekiranya produk tersebut akhirnya dipasarkan dalam negara, tetapi juga boleh menjejaskan imej dan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa kerana dilihat seolah-olah bersubahat dalam penghasilan dan pengedaran peranti yang tidak menyumbang kepada kesejahteraan kesihatan manusia.

PPPKAM ingin menegaskan bahawa:

  1. Nikotin ialah bahan ketagihan yang memberi kesan negatif kepada perkembangan otak, terutamanya dalam kalangan remaja, serta meningkatkan risiko penyakit jantung, strok, dan pelbagai komplikasi kesihatan lain.
  2. Produk vape tidak terbukti selamat sebagai kaedah berhenti merokok dan telah dikaitkan dengan pelbagai isu kesihatan di peringkat global, termasuk penyakit paru-paru yang serius.
  3. Meluluskan pengeluaran produk nikotin di Malaysia, walaupun untuk tujuan eksport, tetap menjadikan negara ini sebahagian daripada rantaian bekalan global produk berisiko tinggi kepada kesihatan awam.
  4. Langkah ini dilihat bercanggah dengan semangat Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), yang digubal untuk memperketat kawalan terhadap produk yang mengandungi nikotin demi melindungi kesihatan awam, khususnya golongan rentan seperti kanak-kanak dan remaja.
  5. Pemberian lesen ini kepada sebuah syarikat luar yang turut menghasilkan produk berkaitan ganja menimbulkan persoalan serius mengenai keselarasan dasar kesihatan awam negara dan keutuhan perundangan kawalan tembakau yang telah diperjuangkan sejak sekian lama, apatah lagi apabila reputasi syarikat tersebut dikaitkan dengan industri ganja yang bertentangan dengan dasar kesihatan dan moral masyarakat.

Sehubungan itu, PPPKAM menggesa:

  1. Kerajaan menilai semula keputusan pemberian lesen ini secara menyeluruh dan mempertimbangkan implikasi jangka panjang terhadap kesihatan awam serta reputasi negara.
  2. Ketelusan dalam proses kelulusan serta penjelasan terbuka kepada rakyat berkenaan rasional dan kawalan yang akan dikenakan terhadap aktiviti pengeluaran nikotin dalam negara.
  3. Pendekatan yang lebih tegas dan konsisten terhadap pengawalan produk nikotin dan vape, selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan prinsip perlindungan kesihatan rakyat.

PPPKAM akan terus memainkan peranan sebagai suara kesihatan awam dalam memastikan dasar negara tidak menggadaikan kesihatan generasi masa depan demi kepentingan komersial jangka pendek. Malaysia tidak wajar menjadi pengeluar kepada peranti yang membahayakan kesihatan manusia, walau di mana sekalipun ia dipasarkan.

“BERBAKTI DEMI KESEJAHTERAAN MASYARAKAT”

PROF. DR. JAMALLUDIN BIN AB RAHMAN
Presiden
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia
27 Mei 2025

Muat turun file pdf DI SINI

Similar Posts