| |

LARANGAN MEROKOK: LANGKAH TEGAS DEMI KESIHATAN AWAM DAN GENERASI MASA DEPAN

Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) ingin menegaskan bahawa larangan merokok di kawasan tertutup, termasuk tempat kerja, yang mula berkuat kuasa hari ini, adalah langkah yang tepat dan perlu demi melindungi kesihatan masyarakat. Kenyataan dan tindakan yang dikemukakan oleh Haniff Khatri melalui Sinar Harian, yang mempertikaikan larangan ini, memerlukan penjelasan kukuh mengenai tujuan dan rasional pelaksanaan peraturan tersebut.

Langkah kerajaan menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) adalah selaras dengan tanggungjawab melindungi kesihatan masyarakat. Kajian menunjukkan pendedahan kepada asap rokok di kawasan tertutup meningkatkan risiko penyakit kronik termasuk perokok pasif. Oleh itu, tindakan ini memastikan pekerja dan pelanggan dilindungi daripada kesan buruk asap rokok, selaras dengan prinsip hak untuk hidup dalam persekitaran yang sihat sebagaimana dijamin di bawah Artikel 5 (1) Perlembagaan Persekutuan. Justeru, larangan merokok di kawasan tertutup seperti tempat kerja adalah langkah sah dan munasabah dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dasar ini juga selaras dengan obligasi Malaysia di bawah World Health Organization Framework Convention on Tobacco Control (WHO FCTC), yang menyatakan negara-negara anggota perlu melindungi orang awam daripada pendedahan asap rokok di tempat kerja, pengangkutan awam, dan tempat awam tertutup dengan melaksanakan perkara-perkara yang digariskan di bawah Artikel 8 (Protection from exposure to tobacco smoke).

PPPKAM menegaskan bahawa larangan ini bukan bertujuan untuk mendiskriminasi perokok tetapi bagi memastikan keseimbangan antara hak individu untuk merokok dan hak masyarakat untuk menikmati persekitaran bebas asap rokok. Perokok masih boleh merokok di kawasan yang dibenarkan. Tindakan undang-undang untuk mencabar dasar ini adalah tidak selari dengan keperluan kesihatan awam dan bukti saintifik.

Oleh itu, PPPKAM menyeru kerajaan untuk terus tegas dalam perlaksanaan Akta ini demi memastikan manfaat kepada keseluruhan rakyat Malaysia serta menjamin generasi akan datang hidup dalam persekitaran yang lebih sihat dan selamat.

 “Berbakti Ke Arah Kesejahteraan Masyarakat”

 PROFESSOR DR. JAMALLUDIN BIN AB RAHMAN
Presiden
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM)
1 Januari 2025

Muat turun kenyataan media ini di SINI

Similar Posts