KERAJAAN MAMPU MENGHARAMKAN TERUS VAPE
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) menolak pandangan bahawa sukar bagi kerajaan untuk mengharamkan vape seperti yang dinyatakan oleh Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin. Alasan bahawa industri ini besar dan melibatkan anak muda tidak boleh dijadikan sebab untuk membiarkan vape terus berleluasa. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sendiri telah mendedahkan bahawa cecair vape yang dicampur dengan dadah sintetik seperti ‘mushroom’ kini berada di pasaran, memberi ancaman besar kepada kesihatan awam.
Kesihatan rakyat, terutama generasi muda, tidak boleh dikorbankan demi keuntungan segelintir pihak. Berapa ramai yang akan menjadi kaya kerana industri ini, tetapi berapa ramai lagi yang akan jatuh sakit akibat kesannya? Kita tidak boleh mengulangi kesilapan yang sama seperti rokok, di mana kepentingan ekonomi diletakkan melebihi kepentingan kesihatan rakyat.
Walaupun Malaysia sudah mempunyai Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang berkuat kuasa sejak 1 Oktober 2024, pelaksanaannya tidak mudah. Akta ini mengandungi peruntukan larangan terhadap pengiklanan, promosi dan tajaan produk merokok, termasuk vape. Ia juga melarang penjualan kepada individu di bawah umur 18 tahun dan di kawasan tertentu seperti sekolah serta larangan jualan secara dalam talian. Pegawai penguat kuasa diberikan kuasa untuk menyita dan memeriksa premis yang melanggar peraturan. Namun, pengalaman lalu menunjukkan bahawa kawalan terhadap produk nikotin sentiasa mencabar kerana industri ini licik mencari jalan untuk mengelak peraturan.
Dengan keadaan ini, sepatutnya kerajaan mengambil langkah lebih berani untuk mengharamkan vape sepenuhnya demi keselamatan rakyat. Langkah separuh hati seperti sekadar mengawal tidak akan mencukupi jika kerajaan benar-benar mahu melindungi generasi muda daripada ancaman ketagihan nikotin dan penyalahgunaan dadah yang semakin meruncing.
Malaysia juga bakal memperkenalkan konsep Karamah Insaniah dalam kurikulum persekolahan pada 2027, yang bertujuan membentuk generasi yang bermaruah, berakhlak, dan sejahtera. Namun, bagaimana kerajaan boleh mencapai matlamat ini jika vape yang jelas merosakkan kesihatan dan akhlak generasi muda terus dibiarkan berkembang? Karamah Insaniah menekankan nilai kesempurnaan insan, tetapi pada masa yang sama, kita membiarkan mereka terjerumus ke dalam ketagihan yang memusnahkan masa depan mereka.
Kerajaan ada kuasa untuk bertindak, dan tiada alasan untuk terus menangguhkan keputusan yang jelas memberi manfaat kepada kesihatan awam. Kesihatan rakyat harus menjadi keutamaan tertinggi, bukan kepentingan ekonomi segelintir pihak yang mengaut keuntungan daripada kesengsaraan orang lain. Oleh itu, PPPKAM mendesak langkah tegas diambil bagi melindungi rakyat daripada ketagihan nikotin dan risiko penyalahgunaan bahan terlarang.
PROF. DR. JAMALLUDIN BIN AB RAHMAN
Presiden
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia
2 Februari 2025
Muatturun kenyataan penuh DI SINI