RMK-13 PERLU DIPERKUKUH DENGAN PENDEKATAN BERTERASKAN KESAKSAMAAN DAN PENENTU SOSIAL KESIHATAN
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) menyambut baik dan menyokong penuh inisiatif-inisiatif kesihatan yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) bagi tempoh 2026-2030. Kerangka RMK-13 yang bertemakan “Melakar Semula Pembangunan” mencerminkan komitmen padu kerajaan untuk tidak hanya memacu ekonomi, tetapi juga mengangkat darjat dan mutu kehidupan rakyat, selaras dengan prinsip teras kesihatan awam.
PPPKAM melihat strategi-strategi di bawah Teras Menaikkan Lantai, khususnya komponen Meningkatkan Mutu Kehidupan Rakyat sebagai langkah progresif ke arah pembentukan sistem kesihatan negara yang saksama, mampan dan berdaya tahan untuk manfaat semua. Antara sorotan utama aspek kesihatan dalam RMK-13 yang dialu-alukan termasuk:
- Reformasi Sistem Kesihatan yang Holistik dan Mampan
- Pengukuhan Penjagaan Kesihatan Primer dan Pencegahan NCD: Fokus untuk memperkukuh penjagaan kesihatan primer dan pencegahan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) adalah amat tepat pada masanya. Inisiatif seperti pelabelan mandatori kandungan gula dan garam di hadapan bungkusan akan memperkasakan pengguna untuk membuat pilihan yang lebih sihat.
- Peningkatan Akses dan Kualiti Fasiliti: Komitmen untuk terus membina dan menaik taraf hospital serta klinik-klinik daif di seluruh negara akan memastikan akses kepada perkhidmatan berkualiti tidak lagi menjadi isu, terutamanya di kawasan luar bandar.
- Pendigitalan Kesihatan ke Arah Perkhidmatan Pintar
- Pembangunan Platform Perkongsian Data Kesihatan: Untuk integrasi maklumat pesakit antara fasiliti awam dan swasta.
- Penggunaan Sistem Rekod Perubatan Elektronik dan AI: Sasaran agar 60% penduduk mempunyai rekod kesihatan digital menjelang 2030 adalah satu matlamat yang progresif.
- Keterjaminan Kesihatan dan Kesiapsiagaan Negara
- Keterjaminan Ubat dan Peranti Perubatan Tempatan: Untuk meningkatkan kemandirian negara dalam menghadapi krisis kesihatan.
- Sekuriti Kesihatan: Usaha membasmi 12 penyakit berjangkit menjelang 2030 menunjukkan komitmen yang jelas terhadap kawalan penyakit.
- Kesihatan Merentas Kitaran Hayat dan Kesihatan Bumi
- Persediaan Menuju Negara Tua: Melalui ekosistem penjagaan jangka panjang yang mampan.
- Kesihatan Bumi (Planetary Health): Merupakan pendekatan progresif yang menekankan keterkaitan antara kesihatan manusia dan kelestarian alam sekitar.
Walau bagaimanapun, PPPKAM ingin menarik perhatian terhadap beberapa jurang penting dalam RMK-13 yang perlu diperkukuh bagi menjamin pencapaian hasil kesihatan yang lebih adil dan inklusif iaitu:-
- Tiada Pendekatan Kesihatan Berasaskan Ekuiti yang Jelas
- Tiada strategi khusus untuk merapatkan jurang kesihatan antara kumpulan rentan, seperti golongan B40, Orang Asli, warga migran dan masyarakat luar bandar.
- Penentu Sosial Kesihatan (Social Determinants of Health, SDH) Tidak Ditekankan Secara Terang
- Faktor seperti pendidikan, perumahan, pekerjaan, pengangkutan awam, dan sekuriti makanan tidak dilihat secara holistik sebagai penentu utama kesihatan.
- Penglibatan Komuniti dan Masyarakat Sivil Kurang Ditekankan
- Kejayaan pelaksanaan memerlukan kerjasama akar umbi, penglibatan NGO, dan pengupayaan komuniti melalui kesedaran dan literasi kesihatan.
- Kesihatan Mental Tidak Disebut
- Sedangkan ia merupakan krisis kesihatan global yang semakin meningkat, dengan kes-kes kemurungan, kebimbangan dan bunuh diri yang semakin membimbangkan di Malaysia.
- Pembangunan dan Agihan Tenaga Kerja Kesihatan Tidak Dijelaskan
- Perlu ada pelan strategik untuk menambahbaik taburan, kapasiti, dan kebajikan tenaga kerja kesihatan, khususnya dalam penjagaan warga emas, kesihatan awam dan kawasan pedalaman.
- Tiada Mekanisme Pemantauan, Penilaian dan Akauntabiliti yang Nyata
- Tiada petunjuk hasil (outcome indicators) atau sistem pemantauan kemajuan yang dinyatakan, seperti yang diamalkan di negara-negara maju.
Sehubungan itu, PPPKAM ingin mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan RMK-13 seperti berikut:-
- Mengarusperdanakan Pendekatan Berteraskan Ekuiti
- Gunakan data terpilih untuk menjejak capaian kesihatan mengikut lokasi, etnik, jantina dan taraf sosioekonomi.
- Fokus kepada golongan terpinggir dan kumpulan berisiko tinggi.
- Mengintegrasikan Penentu Sosial Kesihatan (SDH) secara Strategik
- Tubuhkan Unit “Health in All Policies” di bawah Kementerian Ekonomi atau Jabatan Perdana Menteri untuk penyelarasan antara kementerian.
- Mengarusperdanakan Kesihatan Mental
- Masukkan dalam sistem penjagaan primer, serta program kesihatan mental di sekolah dan tempat kerja.
- Mengiktiraf dan Memperkasa Komuniti
- Melibatkan sukarelawan, pemimpin komuniti dan NGO dalam pelaksanaan dasar.
- Laksanakan program literasi kesihatan berskala besar.
- Pelaburan dalam Tenaga Kerja Kesihatan
- Memanfaatkan sepenuhnya sumber tenaga kerja sedia ada melalui strategi seperti task-shifting, latihan semula (reskilling), dan pengukuhan pasukan kesihatan berbilang disiplin. Fokus juga kepada meningkatkan kapasiti dan kompetensi sukarelawan kesihatan.
- Memperkenal Mekanisme Pemantauan dan Akauntabiliti yang Telus
- Terbitkan Kad Laporan Kesihatan Nasionalsecara berkala dengan petunjuk prestasi utama dan jurang ekuiti.
Oleh yang demikian, PPPKAM komited untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan dan semua pihak berkepentingan bagi menjayakan agenda kesihatan dalam RMK-13. Kami menyeru kepada semua anggota kesihatan dan pakar perubatan kesihatan awam untuk menggembleng tenaga dan kepakaran bagi memastikan pelaksanaan RMK-13 benar-benar mencerminkan semangat kesaksamaan, berteraskan komuniti, serta berpaksikan sistem kesihatan yang berdaya tahan dan mampan.
“Tiada siapa yang tertinggal di belakang – Leaving no-one behind”
Sekian, terima kasih.
BERBAKTI DEMI KESEJAHTERAAN MASYARAKAT
Prof. Dr. Mohamed Rusli bin Abdullah
Presiden
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM)
3 Ogos 2025
Muat turun kenyataan penuh di SINI