AKTA 852 BUKAN UNTUK MENGGALAKKAN INDUSTRI VAPE, WALAUPUN UNTUK PASARAN ANTARABANGSA
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) memandang serius perkembangan berkaitan pemberian lesen interim bagi pengilangan produk nikotin di Malaysia kepada sebuah syarikat luar negara. PPPKAM mengambil maklum bahawa pelesenan ini berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). Namun begitu, PPPKAM berpendirian bahawa semua kementerian dan agensi kerajaan, bukan hanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), harus bertindak secara konsisten dengan aspirasi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), serta akta-akta lain yang berkaitan seperti Akta Racun 1952, bagi memastikan perlindungan kesihatan awam kekal sebagai keutamaan utama negara.
Akta-akta ini tidak digubal untuk merangsang pertumbuhan industri rokok elektronik atau produk yang mengandungi nikotin. Sebaliknya, ia diwujudkan untuk melindungi rakyat daripada kesan buruk produk ini, yang telah dibuktikan melalui pelbagai kajian saintifik. Adalah amat mendukacitakan sekiranya pengecualian nikotin daripada senarai racun dilakukan semata-mata untuk membolehkan pemberian lesen pengilangan sebegini.
PPPKAM berpandangan bahawa:
- Malaysia ialah negara pihak kepada Framework Convention on Tobacco Control (FCTC) yang digubal oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Konvensyen ini menetapkan langkah menyeluruh bagi mengurangkan permintaan dan bekalan produk tembakau, termasuk rokok elektronik (vape), seperti yang diperjelaskan dalam keputusan Mesyuarat Pihak-Pihak (COP) FCTC. Sebagai negara penandatangan, Malaysia bertanggungjawab melaksanakan tindakan yang menghalang permulaan penggunaan tembakau, menggalakkan penghentian, dan mengurangkan pendedahan kepada asap serta bahan berkaitan nikotin. Maka, membenarkan pengeluaran produk nikotin, walaupun untuk tujuan eksport, boleh dianggap bercanggah dengan semangat dan komitmen di bawah FCTC serta boleh menjejaskan kedudukan Malaysia dalam arena kesihatan awam global.
- Aspirasi utama Akta 852 dan akta-akta berkaitan lain ialah untuk menjaga kesihatan awam, khususnya generasi muda. Ia tidak pernah bertujuan membuka ruang pelaburan dalam produk ketagihan seperti vape dan rokok elektronik.
- Kerajaan perlu meletakkan kesihatan awam sebagai keutamaan, bukan sahaja untuk rakyat Malaysia tetapi juga sebagai sebahagian daripada tanggungjawab global terhadap kesejahteraan manusia sejagat.
- Sehingga kini, belum ada profil keselamatan yang mantap berkaitan pendedahan nikotin melalui cecair atau gel. Usaha untuk menentukan tahap pendedahan yang dianggap “selamat” menimbulkan kebimbangan, dan menyerupai pendekatan mencari dos selamat ganja sekiranya ganja dibenarkan. Dalam prinsip kesihatan awam, keutamaan harus diberikan kepada pencegahan dan kawalan, bukan peluasan penggunaan bahan berisiko.
- KKM sebagai peneraju kesihatan negara perlu menunjukkan komitmen yang jelas dalam pelaksanaan Akta 852 secara menyeluruh, konsisten dan berkesan. Ini termasuk pemantauan pasaran, penguatkuasaan kawasan larangan, kawalan penjualan kepada golongan rentan, serta pendidikan awam yang meluas dan berterusan.
- Keuntungan ekonomi daripada industri ini adalah kecil, tidak menyeluruh manfaatnya kepada masyarakat, dan tidak setimpal dengan kos kesihatan awam yang ditanggung negara. Beban rawatan akibat penyakit berkaitan seperti kanser, penyakit paru-paru kronik, dan penyakit jantung semakin meningkat dan membebankan sistem kesihatan negara.
Sehubungan itu, PPPKAM menyarankan:
- Sebarang keputusan berkaitan pengimportan, pelaburan atau pelesenan dalam sektor produk yang mengandungi nikotin mestilah berlandaskan prinsip kesihatan awam sebagai asas utama.
- KKM perlu menerajui pelaksanaan Akta 852 dengan lebih tegas, telus dan berkesan, termasuk menyemak semula had nikotin yang dibenarkan, mengawal penjualan dan pengiklanan secara ketat, serta melaksanakan penguatkuasaan yang menyeluruh melalui kerjasama rentas agensi.
Sebagai badan profesional dalam bidang kesihatan awam, PPPKAM komited untuk terus bekerjasama dan memberikan pandangan yang membina bagi memastikan pelaksanaan undang-undang kesihatan di Malaysia sentiasa berpaksikan prinsip perlindungan kesejahteraan rakyat serta menjaga imej dan integriti negara di mata dunia.
BERBAKTI DEMI KESEJAHTERAAN MASYARAKAT
Prof. Dr. Jamalludin Ab Rahman
Presiden
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM)
4 Jun 2025
Muat turun pdf file DI SINI