PENAMBAHBAIKAN SISTEM PERKHIDMATAN KESIHATAN DI MALAYSIA.

Sejak merdeka, rakyat Malaysia bertuah kerana negara kita mempunyai perkhidmatan kesihatan antara yang terbaik di dunia. Perkhidmatan kesihatan kerajaan melalui Kementerian Kesihatan yang komprehensif , liputan yang meluas di seluruh pelusuk negara, berkualiti dan dengan kos yang rendah (hampir percuma bagi majoriti rakyat). Disamping pilihan perkhidmatan perubatan swasta yang mudah dan banyak terutamanya di kawasan bandar dan kualiti profesional yang di kawal kerajaan sebagai alternatif kepada perkhidmatan kerajaan.

2. Namun begitu selain cabaran kos dan beban yang sentiasa meningkat dalam memberi perkhidmatan yang baik secara berterusan, perkhidmatan kesihatan di Malaysia kini dihadapkan dengan empat isu utama yang sangat mendesak dan sering dibangkitkan oleh banyak pihak dalam pelbagai media.

3. Empat isu utama tersebut ialah, pertama , laporan Jabatan Audit Negara yang mengesahkan bahawa kebanyakan fasiliti kesihatan kerajaan mengalami bajet yang sangat tidak mencukupi, bilangan staf dan perjawatan profesional (doktor, ahli farmasi & jururawat) yang tidak bertambah selari dengan pertambahan bebankerja dan pembukaan fasiliti baharu; kedua, bilangan tenaga profesional (doktor, ahli farmasi & jururawat) yang tidak atau lewat mendapat pekerjaan; ketiga , bayaran gaji doktor kontrak yang tidak adil;  keempat, bayaran konsultansi doktor swasta yang dikawal oleh kerajaan yang masih rendah dan tiada semakan sejak 27 tahun yang lalu.

4. Kesemua isu di atas bukan sahaja melemahkan penyampaian perkhidmatan kesihatan tetapi sudah pasti memberi kesan negatif kepada Kerajaan hari ini dan akan datang. Pelbagai inisiatif Kementerian Kesihatan dan YB Menteri Kesihatan seperti pembentukan Majlis Penasihat Kesihatan( HAC), perbincangan dalam Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), perundingan dengan badan-badan profesional perubatan & Kesihatan dan pihak industri farmasi, sesi Townhall YB Menteri Kesihatan dengan Pengamal Perubatan Swasta, PegawaiKesihatan Daerah/Bahagian/Kawasan dan Pengarah Hospital dan lain- lain masih belum mendatangkan solusi serta tindakan yang tuntas untuk mengatasi isu-isu yang dibangkitkan tersebut.

5.Sebenarnya isu dan cabaran – cabaran di atas bukanlah perkara baharu dan tidak pernah dikaji, dijangkakan atau tidak ada perancangan awal. Pelbagai kajian, perancangan, konsultansi tempatan dan luar negara, seminar & forum, plan strategik dan macam-macam lagi telah dibuat sejak 20 tahun yang lalu. Malangnya tindakan proaktif berkesan tidak dilakukan atas sebab-sebab sosio-politik. Antara cadangan penting yang dipersetujui oleh banyak pemegang taruh terdahulu ialah Reformasi Menyeluruh Sistem Kesihatan Negara, Sistem Pembiayaan Kesihatan Kebangsaan, “Public-Private Seamless Partnership” dan pewujudan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan.

6.Kami Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) dengan hampir 700 orang ahli yang pakar dan berpengalaman dalam mengemudi perancangan dan pelaksanaan sistem kesihatan negara di pelbagai peringkat, menggesa kerajaan mengambil tindakan drastik dan berani kepada perkara-perkara berikut:

i. Mewujudkan pertambahan jawatan bagi Pegawai Perubatan (MO), Pegawai Farmasi (PF), Penolong Pegawai Perubatan (PPP), Jururawat Terlatih (JT) dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP). Kerajaan masih memerlukan pegawai-pegawai ini untuk program-program promosi dan preventif. Sekarang ini pegawai-pegawai yang ada lebih menjurus kepada rawatan kuratif dan bukan preventif, kerana itu kejadian penyakit NCD dan komplikasi sentiasa meningkat membebankan kerajaan.

ii. Mempertimbangkan dengan wajar akan rayuan dan cadangan pelbagai pihak tentang isu gaji dan imbuhan yang kurang adil kepada doktor-doktor kontrak yang baru tamat latihan siswazah serta sedang menjalani perkhidmatan wajib dengan kerajaan.

iii. Mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan Negara yang khusus dan fokus kepada mewujudkan sistem penyampaian perkhidmatan yang komprehensif, seamless, adil dan menggabungkan perkhidmatan awam dan swasta, sistem perjawatan serta sistem pembiayaan kesihatan dan bajet kesihatan negara yang dinamik dan sustainable serta nisbah dan taburan profesional kesihatan yang lebih munasabah.

iv. Mewujudkan Sistem Kesihatan Hibrid (gabungan & swasta) dalam masa terdekat terutama di kawasan ramai penduduk, kurang fasiliti kerajaan dan akses yang jauh. Dengan ini dapat menambah bilangan fasiliti untuk menampung bilangan tenaga profesional yang lebih banyak dan perkhidmatan yang penuh dan lebih baik.

v. Memberi keutamaan kepada program dan aktiviti pencegahan dan promosi kesihatan yang memfokus kepada bina upaya individu, keluarga dan komuniti dalam pencegahan penyakit serta menguruskan kesihatan dan rawatan kendiri (selfcare & community-based care), terutamanya dalam era epidemik NCDs dan penuaan penduduk negara. Pewujudan anggota kesihatankhusus (tidak bergantung kepada anggota klinik kesihatan) untuk menjalankan program pencegahan dan promosi kesihatan serta self-care di dalam community dilihat satu keperluan yang amat meruncing.

“BERBAKTI KE ARAH KESEJAHTERAAN MASYARAKAT”

Ikhlas,

DATO’ DR. ZAINAL ARIFFIN BIN OMAR

Presiden

Similar Posts