Menyokong Kajian Penstrukturan Semula Sistem Pembiayaan Kesihatan Negara

Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) menyambut baik kenyataan YAB Perdana Menteri berhubung usaha kerajaan untuk meneliti keperluan menstruktur semula sistem pembiayaan kesihatan negara seperti dilaporkan pada 6 Mei 2025.

PPPKAM berpandangan bahawa sistem pembiayaan kesihatan negara perlu distrukturkan semula secara menyeluruh demi menjamin kelestarian perkhidmatan, peningkatan kualiti, dan keadilan dalam akses kepada rawatan kesihatan. Model perkhidmatan hampir percuma yang diamalkan selama ini, walaupun berteraskan prinsip keadilan sosial, kini menghadapi cabaran fiskal yang serius dan tidak lagi mampu menyokong keperluan sistem kesihatan moden yang semakin kompleks.

Sehubungan itu, PPPKAM menyokong penstrukturan semula sistem pembiayaan kesihatan negara yang bertujuan:

  • Menjamin kelestarian kewangan sistem kesihatan untuk jangka panjang
  • Meningkatkan akses, liputan dan kualiti perkhidmatan kesihatan, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman
  • Membolehkan pewujudan lebih banyak jawatan tetap dan peluang pekerjaan dalam sektor kesihatan
  • Memperkasakan daya tahan sistem kesihatan dalam menghadapi cabaran semasa dan masa depan
  • Dan yang paling penting, apabila negara mempunyai kemampuan fiskal yang kukuh, pelaburan dalam bidang kesihatan boleh dipertingkatkan termasuk menaik taraf fasiliti, memperluaskan program kesihatan awam dan menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh

Cadangan PPPKAM dalam penstrukturan ini adalah seperti berikut:

  • Mewujudkan sumber kewangan baharu yang mampan.
    Kerajaan perlu mencari sumber pembiayaan tambahan supaya sistem tidak bergantung sepenuhnya kepada kutipan cukai am. Pendekatan sumbangan bersama daripada individu dan majikan serta penglibatan sektor swasta secara terkawal boleh dipertimbangkan dengan teliti demi kesinambungan sistem kesihatan.
  • Memperkenalkan model pembiayaan berasaskan insurans kesihatan nasional.
    PPPKAM mencadangkan agar Malaysia mencontohi model National Health Insurance seperti diamalkan di beberapa negara ASEAN serta negara-negara maju yang tergolong dalam OECD seperti Jerman, Jepun dan Korea Selatan. Model ini terbukti mampan dan mampu menyediakan perlindungan kesihatan menyeluruh kepada seluruh rakyat.
  • Menyediakan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada peruntukan kesihatan untuk perkhidmatan pencegahan (preventif)dan promosi
    Pelaburan yang lebih besar dalam aspek pencegahan akan mengurangkan beban penyakit tidak berjangkit, mengawal kos jangka panjang dan meningkatkan taraf kesihatan penduduk
  • Tidak menjadikan insurans kesihatan swasta sebagai sistem pembiayaan utama
    Insurans kesihatan swasta tidak wajar dijadikan teras sistem kesihatan negara kerana ia mewujudkan ketidaksaksamaan dan membebankan rakyat berpendapatan rendah. Ia hanya sesuai sebagai pelengkap kepada sistem utama yang bersifat kolektif dan menyeluruh
  • Melibatkan semua pemegang taruh dalam penubuhan Dana Kesihatan Nasional
    Taskforce atau badan pelaksana yang membentuk dan mengurus Dana Kesihatan Nasional perlu melibatkan penyertaan aktif daripada semua pemegang taruh, termasuk pakar kesihatan awam, penyedia perkhidmatan kesihatan, sektor swasta, NGO, pengguna dan wakil masyarakat. Ini penting untuk memastikan keperluan semua pihak diambil kira dan prinsip keadilan serta ketelusan dapat ditegakkan.

PPPKAM menegaskan bahawa pelaksanaan reformasi ini perlu diterajui oleh badan bebas yang telus, berintegriti tinggi dan mengutamakan kepentingan rakyat. Penyertaan aktif semua pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan pelaksanaan yang adil dan berkesan.

Dengan komunikasi yang jelas serta pendekatan inklusif, PPPKAM yakin sistem pembiayaan kesihatan baharu ini akan diterima baik oleh masyarakat dan menjadi asas kukuh kepada masa depan kesihatan rakyat Malaysia.

Sekian, terima kasih.

BERBAKTI DEMI KESEJAHTERAAN MASYARAKAT

Prof. Dr. Jamalludin Ab Rahman
Presiden
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM)
8 Mei 2025

Muat turun fail pdf : DI SINI

Similar Posts