Sokongan Penetapan Kenaikan Harga Jualan Rokok Selepas Perlaksanaan Cukai Perkhidmatan Dan Jualan (SST)
Kerajaan Malaysia Kerajaan Malaysia telah memperkenalkan Cukai Perkhidmatan dan Jualan (Sales and Service Tax) SST bermula 1 September 2018. Pengenaan SST ini adalah merangkumi semua jenis produk tembakau termasuk rokok.
Di bawah Seksyen 2 (1), Perintah Cukai Jualan (Kadar Cukai) 2018, kadar cukai jualan yang hendak dikenakan dan dilevikan hendaklah pada 10% ke atas barangan. Di bawah Seksyen 2 (2), Perintah Cukai Jualan (Kadar Cukai) 2018, terdapat sejumlah barangan yang telah ditetapkan peratusan kepada 5% dan peratusan lain yang ditetapkan. Jelas di bawah Perintah ini, peratusan cukai jualan yang telah ditetapkan adalah sebanyak 10% bagi produk tembakau termasuk rokok.
Di bawah Peraturan –Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004), Peraturan 8A berkaitan Harga Jualan Runcit, menyatakan semua harga jualan runcit bagi produk tembakau hendaklah mendapat kelulusan dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Peraturan 2A dan Peraturan 2B, PPKHT 2004 jelas menyatakan bahawa setiap berlakunya apa-apa perubahan cukai eksais atau apa-apa cukai yang berkaitan, harga hendaklah dinaikkan dengan kuantum kenaikan cukai yang dikenakan.
Oleh kerana itu, semua produk tembakau termasuk rokok perlu dinaikkan kepada 10% cukai jualan yang dikenakan. Namun begitu, terdapat desakan daripada syarikat dan industri rokok yang cuba mengelak kenaikan cukai jualan seperti mana yang ditetapkan. Ia adalah jelas seperti petikan siaran media dari akhbar Malay Mail (rujuk Lampiran).
Petikan tersebut mendesak pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membuat semakan semula harga rokok dan produk tembakau yang TIDAK TURUNapabila pengenaan GST pada kadar sifar pada Jun 2018. Oleh itu, boleh disimpulkan daripada penyataan JTI ini adalah pihak KKM diminta untuk meluluskan harga jualan rokok melalui Perintah Cukai Jualan (Kadar Cukai) 2018 dikenakan 10% cukai jualan berdasarkan harga ditolak kadar GST sifar, iaitu hanya kenaikan 4% berbanding 10%.
Pihak Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) TIDAK BERSETUJUdan mendesak KKM agar menetapkan 10% sebagaimana Pewartaan Perintah Cukai Jualan 2018. Pada masa yang sama pihak PPPKAM menyokong penuh pendirian Kementerian Kesihatan Malaysia yang telah menetapkan harga rokok pada Jun 2018 ketika GST di kadar sifar kerana produk tembakau termasuk rokok adalah BUKAN BARANGAN KEPERLUANdan harga sememangnya tidak boleh turun bagi membendung kebolehdapatan pengguna.
Pihak PPPKAM mendesak Kementerian Kesihatan Malaysia agar menetapkan kenaikan harga jualan rokok kepada 10% cukai jualan seperti yang diwartakan dan tidak mengikut kehendak industri sepertimana penyataan di siaran media.
Antara faktor kenaikan harga rokok perlu ditetapkan di kadar 10% adalah :
- Syarikat rokok telah mendapat keuntungan hasil daripada 6% GST yang telah ditetapkan pada kadar sifar sepanjang “Tax Holiday” dan adalah tidak munasabah pengenaan cukai ditolak dan ditetapkan pada kadar yang lebih rendah.
- Pengenaan cukai 10% dan kenaikan yang lebih akan membantu meningkatkan kadar peratusan cukai kepada harga jualan runcit sebanyak 70% sepertimana ditetapkan oleh Artikel 6, WHO Framework Convention on Tobacco Control. Kadar pada ketika ini adalah sebanyak 47%.
- Alasan syarikat rokok untuk tidak menaikkan harga rokok bagi mengurangkan beban rakyat adalah TIDAK BOLEH diterima kerana produk ini terbukti membunuh lebih separuh daripada penggunanya .
- Syarikat rokok seringkali membangkitkan kenaikan harga rokok akan menyebabkan masalah penggunaan rokok tidak sah adalah TIDAK MUNSABAH kerana PPPKAM berpendirian bahawa isu rokok tidak sah perlu ditangani secara berasingan dan penguatkuasaan perlu diperketatkan oleh pihak Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian yang terlibat.
- Syarikat rokok mengelak untuk kenaikan harga rokok dengan alasan peningkatan rokok tidak sah juga TIDAK MUNSABAHsedangkan pemantauan harga rokok dan kenaikan yang telah dibuat menunjukkan syarikat sendiri yang menaikan harga bagi keuntungan.
Sekian, terima kasih.
BERBAKTI KE ARAH KESEJAHTERAAN MASYARAKAT
DATO’ DR ZAINAL ARIFFIN BIN OMAR
Presiden,
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM)
7 September 2018.