| |

KEMALANGAN MAUT BAS MEMBAWA PELAJAR UPSI MENGUATKAN KEPERLUAN MENJADIKAN KESELAMATAN PENGANGKUTAN AWAM DAN JALAN RAYA SEBAGAI KEUTAMAAN KESIHATAN AWAM

Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) merakamkan ucapan takziah dan simpati yang amat mendalam kepada keluarga mangsa tragedi kemalangan bas yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak pada 9 Jun 2025.

Kami juga ingin merujuk satu lagi kemalangan melibatkan sebuah bas yang membawa 28 penumpang, termasuk 13 penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), yang berlaku pada 10 Jun 2025 di Maran, Pahang. Walaupun tiada kematian dilaporkan dalam kejadian ini, ia menambah kepada siri insiden serius melibatkan pengangkutan awam yang membimbangkan dalam tempoh yang singkat.

Kemalangan jalan raya merupakan antara sepuluh punca utama kematian di Malaysia, seperti yang dilaporkan dalam Laporan Statistik Punca Kematian Malaysia 2024 oleh Jabatan Perangkaan. Insiden seperti ini bukan sahaja menyebabkan kehilangan nyawa secara tiba-tiba, tetapi juga memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan mental dan fizikal keluarga mangsa serta menambah beban kepada sistem kesihatan negara.

PPPKAM menegaskan bahawa keselamatan jalan raya dan pengangkutan awam perlu dianggap sebagai isu kesihatan awam yang sangat serius. Sehubungan itu, kami mengemukakan empat cadangan utama untuk pertimbangan pihak berkepentingan.

1. Pematuhan Standard Kenderaan dan Penguatkuasaan Penyelenggaraan
Setiap kenderaan pengangkutan awam, khususnya bas yang membawa penumpang dalam jumlah besar, mesti mematuhi standard keselamatan teknikal yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa seperti JPJ dan APAD. Penyelenggaraan perlu dilakukan mengikut jadual, dan rekod penyelenggaraan mestilah lengkap serta boleh diaudit. Pihak berkuasa juga perlu mempertingkat penguatkuasaan terhadap syarikat pengangkutan, termasuk menjalankan pemeriksaan mengejut dan mengenakan tindakan tegas terhadap pengendali yang gagal mematuhi piawaian minimum. Penguatkuasaan yang konsisten dan bebas dari kompromi adalah asas kepada pencegahan tragedi yang boleh dielakkan.

2. Pemerkasaan Profesion Pemandu
Pemandu kenderaan awam memainkan peranan besar dalam menjamin keselamatan penumpang. Latihan berkala perlu meliputi pemanduan di waktu malam, laluan mencabar seperti jalan berbukit dan selekoh tajam serta tindakan kecemasan. Saringan kesihatan fizikal dan mental juga perlu dijalankan secara sistematik. Di samping itu, profesion ini harus dinaik taraf melalui struktur gaji yang lebih adil, status kerja yang dihargai dan modul kesejahteraan kerja yang menyeluruh.

3. Reka Bentuk dan Infrastruktur Jalan Raya Selamat
Kualiti jalan raya perlu diberi perhatian dalam perancangan bandar dan desa. Penambah baikan yang antara lain melibatkan penggunaan struktur lebih selamat, pemasangan lampu jalan yang mencukupi di kawasan gelap dan berisiko, papan tanda amaran yang jelas serta semakan terhadap kesesuaian reka bentuk dan fungsi jalan perlu menjadi sebahagian daripada dasar pembangunan infrastruktur negara.

4. Pendidikan dan Tanggungjawab Bersama Masyarakat
Setiap anggota masyarakat mempunyai peranan dalam menjayakan budaya keselamatan jalan raya. Pendidikan dan kesedaran awam perlu diperkasa secara berterusan melalui kempen, kurikulum sekolah dan latihan komuniti. Tanggungjawab bukan sahaja terletak pada pemandu, tetapi juga pada penumpang, pejalan kaki dan semua pengguna jalan raya. Hanya dengan kesedaran kolektif, kita dapat mengurangkan risiko kemalangan yang membawa maut.

PPPKAM menyeru agar keselamatan jalan raya dan pengangkutan awam dijadikan sebagai agenda utama dalam perancangan kesihatan awam negara. Tragedi yang meragut nyawa pelajar UPSI ini mesti menjadi titik tolak kepada perubahan dasar dan tindakan menyeluruh yang mampu melindungi rakyat daripada insiden yang boleh dicegah.

“Berbakti Ke Arah Kesejahteraan Masyarakat”

PROFESSOR DR JAMALLUDIN BIN AB RAHMAN
Presiden
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM)
10 Jun 2025

Muat turun fail pdf DI SINI

Similar Posts