SESI DIALOG BELANJAWAN 2026 KKM

Sesi Dialog Belanjawan 2026 Kementerian Kesihatan Malaysia telah berlangsung pada 4 September 2025 bertempat di The Everly Putrajaya.

PPPKAM telah diwakili oleh Dr Wafaak Esa selaku Setiausaha Kehormat PPPKAM

Antara cadangan yang telah dibentangkan oleh PPPKAM adalah:

Cadangan 1: Pemacuan kesiapsiagaan dan respons kesihatan awam melalui pewujudan Elaun Kerja Lebih Masa Krisis Kesihatan Awam dapat memperkukuh kesiapsiagaan serta mempercepat tindakan respons krisis kesihatan awam bagi mengurangkan beban hospital. Langkah ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat melalui perkhidmatan kesihatan awam yang lebih responsif, tetapi juga mengiktiraf kepentingan petugas selaras dengan semangat merakyatkan kesihatan dan strategi negara menua.

Cadangan 2: Transformasi Tadbir Urus Hospital dengan menaiktaraf Pengarah Hospital utama daripada perjawatan pegawai perubatan kepada Pakar Perubatan Kesihatan Awam yang berkeupayaan menekankan kualiti perkhidmatan, kepuasan pesakit, serta akauntabiliti melalui pendekatan berasaskan sistem dan kesihatan populasi. Walaupun melibatkan kos tambahan elaun pakar, ia menghasilkan penjimatan kos jangka panjang melalui penggunaan sumber yang lebih efisien melalui kecekapan operasi dan hospital yang lebih responsif terhadap keperluan masyarakat.

Cadangan 3: Transformasi Kepimpinan Kesihatan Awam melalui meningkat bilangan Pakar Perubatan Kesihatan Awam yang diberikan kepercayaan sebagai Khas C Pakar Perunding Perubatan bagi memimpin hala tuju dasar kesihatan awam di Negeri dan Daerah besar secara strategik dan kos efektif berbanding perunding luar. Langkah ini akan memperkukuh kepimpinan dalam penjagaan primer, kawalan penyakit NCD dan kesihatan mental, serta menunjukkan komitmen kerajaan membina kapasiti dalaman KKM yang lebih dekat dengan keperluan masyarakat.

Cadangan 4: Merealisisasikan Sistem Pendigitalan Kesihatan Nasional dengan mewujudkan Skim Pembiayaan Kesihatan berasaskan Insurans Kesihatan Nasional. Pendekatan ini akan memastikan agenda kesihatan digital negara dapat dilaksanakan secara mampan, dengan akses data yang telus, pantas dan saksama, seterusnya menjadikan perkhidmatan kesihatan lebih efisien, efektif dan berasaskan nilai untuk rakyat.

Cadangan ini juga telah dimajukan kepada YBhg Dato’ Sri KSU untuk tindakan lanjut. Moga usaha PPKA di negara ini akan terus dihargai dan kita akan terus berbakti demi kesejahteraan masyarakat dan negara tercinta.

Similar Posts