|

SOKONGAN PENUH KELULUSAN PINDAAN AKTA 342

Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) menyambut baik dan menyokong penuh keputusan parlimen Malaysia yang telah meluluskan Rang Undang-Undang Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024 pada 14 Oktober 2024.

Untuk makluman, Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) ini telah berkuatkuasa sejak 1 April 1989 dan ianya digubal bagi mencegah penularan penyakit berjangkit; memberi kuasa kepada Pegawai Diberi Kuasa untuk mengambil tindakan tertentu dalam mengurus dan mengawal penyakit berjangkit; dan melindungi kesihatan awam dengan menetapkan peraturan dan langkah-langkah yang perlu diambil semasa berlakunya wabak.

Berdasarkan pengalaman yang telah dihadapi semasa pandemik COVID-19 yang lalu; serta mengambil kira kelompongan-kelompongan dalam perlaksanaan Akta tersebut semasa pandemik berkenaan; adalah wajar bagi semua pihak menyokong penuh pindaan Akta 342 ini.

Ini amat penting agar tindak balas kecemasan yang cepat dan teratur dapat diselaraskan dan disampaikan kepada masyarakat oleh Pegawai Diberi Kuasa apabila terjadinya penularan wabak penyakit berjangkit.

Akta 342 ini meliputi semua penyakit berjangkit dan tidak hanya tertumpu kepada COVID-19 semata-mata. Akta 342 ini juga digunapakai semasa negara mendepani penularan wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), Japanese Encaphalitis (JE), selesma burung (H7N9), H1N1, denggi, SARS, malaria dan pelbagai lagi.

Diharapkan Rang Undang-Undang Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024 yang telah diluluskan ini akan dapat meningkatkan strategi kesiapsiagaan dalam menghadapi penularan penyakit berjangkit; dan memperkasakan penguatkuasaan undang-undang terutama hal-hal yang berkait dengan tindakan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit.

Sekian, terima kasih.

PROF. MADYA DR. MALINA OSMAN
Setiausaha Kehormat PPPKAM
20 Oktober 2024

Link pdf: SOKONGAN PENUH KELULUSAN PINDAAN AKTA 342

Similar Posts