|

KECEWA DENGAN PENANGGUHAN PEMBENTANGAN RANG UNDANG-UNDANG (RUU) KAWALAN PRODUK MEROKOK DEMI KESIHATAN AWAM 2023

Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) ingin menyuarakan rasa kesal dan kecewa atas penangguhan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 pada 9 Oktober 2023 tempohari walaupun setelah mendapat pandangan daripada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan. Tiada alasan yang jelas mengapa RUU berkenaan gagal dibentangkan, serta diberikan pertimbangan wajar untuk diluluskan.

Penangguhan pembentangan bacaan kedua RUU ini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pemberi kesihatan dan juga masyarakat, samada kerajaan serius untuk melindungi masyarakat dari gaya hidup yang sangat berisiko ini.

Penyahsenaraian cecair nikotin dari akta racun negara pada 31 Mac 2023 telah memberi kebebasan kepada kanak-kanak untuk membeli dan memperdagangkan cecair nikotin tanpa sebarang penguatkuasaan undang-undang. Kanak-kanak yang masih di sekolah rendah atau menengah dengan mudah boleh mendapatkan produk cecair nikotin tanpa sebarang sekatan.

Tindakan kerajaan ini jelas telah tidak memberikan pertimbangan adil terhadap masa depan golongan harapan negara tersebut. Mereka yang telah diberi mandat melalui pilihanraya untuk memperkukuh kesejahteraan rakyat jelas tidak menyempurnakan tanggungjawab berkenaan.

PPPKAM berpendapat wujud sentimen yang amat kuat sehingga menyebabkan sebahagian besar mereka yang memegang tanggungjawab menggubal polisi negara menggangap seolah-olah RUU tersebut bakal membawa ‘bencana’ ekonomi kepada negara. Ada pihak yang menyatakan bahawa isu kekurangan bekalan beras tempatan dan masalah jerebu lebih penting daripada isu kawalan produk merokok. Ada juga yang berpendapat bahawa dengan menguatkuasakan RUU ini, ia seolah-olah menyekat kebebasan individu, di samping terdapat potensi bahawa rakyat akan terlibat dalam aktiviti penyeludupan rokok jika RUU ini dilaksanakan. PPPKAM juga mendapati terdapat salah tanggapan yang jelas bahawa vaping merupakan agen yang ‘selamat’ sebagai gantian rawatan untuk mereka yang berhenti merokok.

Adakah begitu besar sumbangan dari hasil perniagaan berasaskan nikotin ini kepada negara berbanding kos rawatan penyakit-penyakit akibat nikotin dan kesan rokok?

PPPKAM sangat berharap agar kerajaan dapat menyatakan dengan jelas sebab kepada keputusan penangguhan ini serta bersegera menunjukkan keprihatinan kerajaan MADANI terhadap kesejahteraan masyarakat.


PROF. DR. JAMALLUDIN BIN AB RAHMAN
Presiden
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia
11 Oktober 2023

https://pppkam.org.my/wp-content/uploads/2023/10/PS-PPPKAM-KECEWA-DENGAN-PENANGGUHAN-PEMBENTANGAN-RUU-KAWALAN-PRODUK-MEROKOK-DEMI-KESIHATAN-AWAM-2023.pdf

Similar Posts