|

MEMOHON PERTIMBANGAN SEMULA MENGEMBALIKAN KOMPONEN DASAR GENERASI TANPA TEMBAKAU (GEG) DALAM RANG UNDANG-UNDANG KAWALAN PRODUK MEROKOK UNTUK KESIHATAN AWAM.

Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) berasa amat kecewa dan memohon pertimbangan semula keputusan Kabinet Malaysia baru-baru ini untuk memisahkan Dasar Generasi Tanpa Tembakau (GEG) daripada Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam. Keputusan yang disarankan oleh Peguam Negara atas alasan GEG itu tidak mengikut perlembagaan, merupakan langkah mundur yang serius dalam usaha memperkasakan kesihatan awam di negara ini.

Dasar GEG yang bertujuan mengharamkan penjualan produk tembakau dan vape kepada individu yang lahir selepas 1 Januari 2007 adalah tonggak penting dalam perjuangan melawan ketagihan tembakau di Malaysia. Ia bertujuan melindungi generasi akan datang daripada kesan buruk nikotin dan penggunaan tembakau. Alasan bahawa GEG bertentangan dengan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan adalah membimbangkan kerana ia mengabaikan hakikat undang-undang kesihatan awam yang sering memerlukan pendekatan yang berbeza untuk segmen populasi yang berbeza untuk menangani risiko kesihatan secara efektif.

Keputusan melulu untuk membuang komponen GEG yang pada mulanya diberi jenama sebagai ‘Bil GEG’ akan menimbulkan kekeliruan di kalangan orang awam dan pembuat dasar yang berpotensi mengurangkan kredibiliti dan keberkesanan dasar kesihatan di negara ini. PPPKAM berasa amat kecewa apabila melihat kepada negara maju seperti New Zealand yang telah berjaya melaksanakan dasar GEG tetapi Malaysia pula mengambil langkah mundur daripada pendekatan progresif seperti itu. Pendekatan New Zealand menunjukkan bahawa adalah mungkin untuk mengutamakan kesihatan awam dan kesejahteraan generasi akan datang melalui perundangan yang berani dan berkesan.

Sebagai profesional kesihatan, PPPKAM sangat prihatin tentang implikasi keputusan ini terhadap kesihatan generasi akan datang di Malaysia. PPPKAM mohon pertimbangan semula  pendirian kerajaan agar mengembalikan semula komponen GEG dalam rang undang-undang tersebut. Perlindungan anak muda kita daripada bahaya tembakau dan ketagihan nikotin harus menjadi keutamaan utama dan Malaysia seharus mengikuti jejak negara seperti New Zealand dalam melaksanakan dasar kesihatan awam yang penuh visi dan kuat.

PPPKAM amat yakin bahawa kesihatan anak-anak kita dan kesejahteraan masa depan negara kita bergantung pada keberanian dan pandangan jauh untuk melaksanakan dasar kesihatan awam yang komprehensif termasuk langkah inovatif seperti GEG. Persatuan Pakar Kesihatan Awam Malaysia bersedia untuk menyokong kerajaan dalam usaha ini, dan berjuang untuk masa depan Malaysia yang lebih sihat dan bebas daripada asap rokok.

Sekian.

BERBAKTI KE ARAH KESEJAHTERAAN MASYARAKAT

PROF. DR. JAMALLUDIN BIN AB RAHMAN

Presiden
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia
16 November 2023

PDF Link : PS PPPKAM – KEMBALIKAN KOMPONEN DASAR GENERASI TANPA TEMBAKAU (GEG) DALAM RANG UNDANG-UNDANG KAWALAN PRODUK MEROKOK UNTUK KESIHATAN AWAM.

Similar Posts