Sokongan Penuh Terhadap Tindakan Kerajaan Negeri Mengawal Penjualan Vape

Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) menyokong sepenuhnya langkah-langkah kerajaan negeri dalam memperketat kawalan terhadap penjualan produk vape. Sehingga April 2025, beberapa negeri telah melaksanakan dasar kawalan yang ketat, termasuk:

  • Johor: Kerajaan negeri telah menguatkuasakan larangan penjualan produk vape melalui arahan rasmi, dan tiada lesen baharu dikeluarkan untuk premis berkaitan vape. (The Star, 6 Februari 2024)
  • Kelantan: Kerajaan negeri Kelantan tidak pernah mengeluarkan lesen perniagaan untuk penjualan vape. Semua aktiviti berkaitan penjualan dan pengiklanan vape dikawal ketat, dan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dari semasa ke semasa. (The Star, 22 April 2025)
  • Terengganu: Kerajaan negeri telah mengumumkan langkah untuk melarang sepenuhnya penjualan semua produk vape, termasuk tidak mengeluarkan lesen berkaitan dan memperketatkan tindakan penguatkuasaan. (The Star, 24 April 2025)
  • Selangor: Kerajaan negeri sedang menilai kemungkinan untuk mengetatkan kawalan atau melarang penjualan vape melalui perbincangan dengan agensi-agensi berkaitan. (The Star, 25 April 2025)

Langkah-langkah ini selari dengan prinsip kesihatan awam dan berdasarkan bukti saintifik serta insiden tempatan berikut:

  • Sindiket dadah menggunakan vape sebagai medium baharu pengedaran bahan terlarang.
  • Pelajar sekolah menengah didapati mudah mendapatkan akses kepada vape.
  • Peningkatan kes keracunan melibatkan kandungan tidak sah dalam cecair vape, termasuk anestetik dan dadah sintetik.
  • Pendedahan kegiatan rasuah berkaitan penyeludupan produk vape.

Walaupun Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) telah dikuatkuasakan, penguatkuasaannya amat mencabar. Sukar untuk memantau dan mengawal kandungan sebenar setiap cecair vape yang dijual. Produk ini boleh mengandungi bahan terlarang atau racun tersembunyi yang sukar dikesan dan ditambah pula terdapat lesen perniagaan bagi peranti elektronik yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), yang mungkin disalahgunakan untuk menjual produk vape.

Sehubungan itu, PPPKAM menyeru pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memperketatkan semakan lesen sedia ada dan menutup sebarang kelompongan yang membolehkan produk vape dijual secara tidak langsung. Sebagai contoh, mungkin terdapat premis yang didaftarkan di bawah lesen penjualan peranti elektronik, tetapi dalam praktiknya turut menjual produk vape seperti alat rokok elektronik dan cecair vape yang mengandungi bahan nikotin atau bahan terlarang. Hal ini menyebabkan aktiviti penjualan vape berlaku tanpa kebenaran khusus, dan mengelak daripada kawalan kesihatan awam yang lebih ketat.

Kajian dalam negara menunjukkan peningkatan ketara dalam penggunaan vape di kalangan remaja, kebanyakannya tanpa kesedaran penuh terhadap risiko kesihatan. Kajian antarabangsa, termasuk dari Centers for Disease Control and Prevention (CDC), menunjukkan kes penyakit paru-paru serius (EVALI) yang dikaitkan dengan penggunaan vape.

Oleh itu, PPPKAM menyeru semua kerajaan negeri supaya mengambil langkah proaktif dalam memperketatkan kawalan atau mempertimbangkan pengharaman penjualan vape sepenuhnya. Kami juga menyeru Kementerian Kesihatan Malaysia untuk memperkukuhkan pelaksanaan Akta 852 dan mengambil pendekatan yang lebih tegas terhadap isu ini. Vape bukanlah alternatif selamat kepada rokok. Ia adalah ancaman kesihatan awam yang kian membesar dan memerlukan tindakan berani serta menyeluruh.

Sekian, terima kasih.

“BERBAKTI DEMI KESEJAHTERAAN MASYARAKAT”

PROF. DR. JAMALLUDIN BIN AB RAHMAN
Presiden
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia
26 April 2025

Muat turun versi pdf DI SINI

Similar Posts