PROGRAM SANITASI NEGARA BESAR-BESARAN
Malaysia kini sedang mengharungi gelombang ketiga pandemik COVID-19 yang turut dialami di seluruh dunia ketika ini. Lanjutan dari itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah memutuskan untuk segera melakukan semburan sanitasi besar-besaran yang meliputi 284 lokasi panas di seluruh negara. Dan sehingga hari tersebut, sebanyak 25,252 operasi sanitasi telah dilaksanakan meliputi hampir semua kawasan panas termasuk kawasan hijau.
Pihak Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) turut terpanggil untuk memberi pandangan solidariti yang mewakili ahli di negara ini. Secara khususnya, secara solidariti menyokong Prof. Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman dalam Twitter dan Prof. Datuk Dr. Lokman Hakim dalam laman Facebook beliau yang menyatakan pandangan mengenai pelaksanaan sanitasi besar-besaran yang dilaksanakan oleh Kementerian tersebut merupakan satu pembaziran sekiranya dilaksanakan secara tidak bersasar dan tidak berasaskan maklumat sains yang terkini tentang langkah-langkah yang perlu diambil untuk membendung penyebaran wabak COVID-19. Di samping itu, bahan-bahan kimia yang digunakan dalam program sanitasi tersebut juga dikhuatiri akan membawa kesan yang buruk kepada masyarakat.
PPPKAM menyarankan agar sebelum sesuatu sanitasi atau aktiviti besar yang melibatkan kesihatan rakyat Malaysia perlu mendapat pandangan awal dari Kementerian Kesihatan Malaysia. Dalam perjuangan memutuskan rantaian COVID-19, semua kementerian di negara ini tidak boleh lagi bekerja secara sendiri atau silo tanpa mendapatkan pandangan dari pihak yang lebih berpengetahuan dan pakar dalam bidang tersebut. Kerjasama serta berkongsi sumber antara kementerian amat penting di ketika yang getir ini. Segala perbelanjaan seharusnya boleh digunakan untuk tujuan lain yang lebih spesifik terutama dalam memastikan perlindungan diri serta untuk memperkasa sistem kesihatan yang kini sedang tenat.
Pelaksanaan sanitasi sebegitu besar juga ada faedahnya terutama pada kawasan merah, jingga dan kuning bagi segera menurunkan beban virus COVID-19 dalam persekitaran. Namun ia perlu dilakukan secara bersasar terutama kawasan yang tertutup dengan pengudaraan yang kurang baik. Kesudian penduduk setempat atau pekerja dalam sesuatu kawasan juga perlu diambilkira sebelum sanitasi dilaksanakan. Ini kerana dalam kalangan penduduk, ada yang kurang sihat seperti pesakit asma atau mengidap dermatitis yang mungkin boleh memburukkan lagi keadaan kesihatan mereka. Persekitaran serta harta benda juga mungkin boleh terjejas dengan penggunaan bahan klorin atau bahan kimia lain dalam proses semburan sanitasi tersebut.
Banyak faktor yang perlu dipertimbangkan sebagaimana yang disarankan oleh Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam Interim Guideline bertarikh 15 Mei 2020 dan Centres for Disease Control (CDC) di Amerika Syarikat. Kedua-dua garis panduan tersebut mengandungi bimbingan tentang tempat-tempat yang perlu disanitasi dan cara-cara sanitasi, dan adalah diterima pakai di seluruh dunia. WHO menyarankan supaya sanitasi perlu bersasar terhadap kawasan dalam bangunan tertutup seperti tandas dan sinki, perabut dan alatan bangunan / rumah, kaunter, pemegang tangga, lantai dan dinding. Ini termasuk bangunan yang dikunjungi oleh orang ramai seperti pusat komuniti, pasar, sistem pengangkutan dan komersial. Kajian mendapati dengan pencahayaan matahari yang cukup di luar bangunan, ia mampu membunuh virus COVID-19 dalam jangkamasa 20 minit pendedahan. Lagi pun tiada guna sanitasi dijalankan di kawasan yang terbuka dan mendapat cahaya matahari kerana virus COVID-19 didapati kurang jumlahnya dan akan cepat mati jika berada di kawasan seperti itu.
Oleh itu, PPPKAM amat bersetuju dengan pandangan Prof. Datuk Dr. Adeeba Kamaruzaman dan Prof. Datuk Dr. Lokman Hakim. Sanitasi yang dijalankan adalah tidak berasaskan kepada pengetahuan sains terkini dan berpotensi menyebabkan pembaziran sumber dalam ketika negara amat perlu untuk menguruskan perbelanjaannya secara bijak. Sanitasi pintar perlulah bersasar dan melibatkan semua Kementerian serta agensi berasaskan kepada penemuan sains dan sosial masa kini.
Sekian, terima kasih.
BERBAKTI KE ARAH KESEJAHTERAAN MASYARAKAT
DATO’ DR. ZAINAL ARIFFIN BIN OMAR
Presiden
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia
2 Jun 2021