|

Kenyataan Balas Berkaitan Bantahan YB Datuk Wan Saiful bagi Cadangan Memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok

Isu Rang Undang-undang produk Kawalan tembakau terus menarik minat pembuat polisi negara dalam membincangkannya kepada masyarakat. Terbaru, pihak PPPKAM ingin merujuk kepada laporan akhbar utusan bertarikh 22 Ogos 2023 mengenai bantahan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengenai cadangan memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok.

Menurut pandangan YB, isu kenaikan harga barang wajar diberikan fokus berbanding keutamaan untuk menyekat kebebasan rakyat memilih gaya hidup. YB berpendapat, dengan menguatkuasakan RUU berkenaan, seolah-olah kerajaan cuba mengongkong rakyat sehingga kemungkinan rakyat terlibat dengan aktiviti penyeludupan rokok seandainya RUU berkenaan dilaksanakan.

PPPKAM ingin menegaskan bahawa isu berkaitan cadangan penguatkuasaan RUU terhadap produk kawalan tembakau BUKAN isu politik. Tidak timbul polemik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui dapatan cadangan polisi berkenaan cuba menyekat kebebasan gaya hidup individu masyarakat sekaligus cuba mengalih pandangan dari isu sebenar berkaitan kenaikan harga barang.

Cadangan penguatkuasaan RUU ini adalah untuk melindungi sebahagian besar populasi negara kita di bawah umur yang masih belum mampu memilih keputusan terbaik untuk kesihatan mereka. Dengan penyahsenaraian cecair nikotin dari akta racun negara baru-baru ini membolehkan semua anak-anak kita di bawah umur untuk membeli cecair nikotin yang merupakan bahan kandungan utama dalam vaping tanpa menghadapi sebarang penguatkuasaan undang-undang.

Dengan kata lain, anak-anak kita yang masih di tadika, sekolah rendah atau menengah boleh berjual beli produk cecair nikotin tanpa sebarang sekatan. Dalam masa yang sama juga, kiosk yang menjual cecair nikotin ini sepatutnya boleh dibenarkan untuk berniaga di premis pendidikan termasuk sekolah, taman asuhan kanak-kanak serta di mana sahaja yang menjanjikan pulangan yang menguntungkan.

PPPKAM sangat prihatin terhadap isu kesihatan yang bakal berlaku akibat ketagihan vape terutama di kalangan populasi kanak-kanak atau remaja; yang mana sehingga hari ini mendapati kesemua hasilan saintifik merekodkan kesan buruk terhadap pernafasan dan juga berpotensi boleh membawa maut. Sebaga ahli parlimen yang telah dipilih oleh rakyat melalui undang-undang, PPPKAM sangat mengharapkan agar isu ini dapat difahami dengan jelas tanpa dikelirukan dengan prospek yang bersifat kepentingan tertentu sehingga tanpa disedari ia ‘mengorbankan’ kesihatan anak-anak kita yang merupakan pemimpin negara pada masa akan datang.

 Sekian.

BERBAKTI KE ARAH KESEJAHTERAAN MASYARAKAT

PROF. DR. JAMALLUDIN BIN AB RAHMAN
Presiden
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia
25 Ogos 2023

Similar Posts