|

Kenyataan Balas Berkaitan Artikel Terbitan NST 31 Ogos 2023 bertajuk “Adopt Harm Reduction Strategy Instead Of Generation End Game (GEG)”

Persatuan Pakar Perubatan kesihatan Awam Malaysia merujuk kepada laporan akhbar NST bertarikh 31 Ogos 2023 yang bertajuk “Adopt harm reduction strategy instead of GEG”. Laporan berkenaan telah memuatkan pandangan beberapa orang pakar luar negara dan tempatan yang mencadangkan kepada kerajaan untuk mengambil pendekatan pengurangan mudarat (harm reduction) berbanding Dasar Generasi Penamat (GEG).

Dalam konteks ini, PPPKAM telah mendapat maklumbalas pakar tempatan berkenaan yang merujuk kajian luar negara yang dikatakan telahpun mempunyai undang-undang kawalan produk rokok bernikotin yang dikatakan memberikan hasil positif berkenaan. PPPKAM juga mengambil maklum makluman pakar berkenaan yang menyatakan di negara ini, kita tidak mempunyai undang-undang yang mengawal atur produk nikotin.

PPPKM juga telah merujuk kepada artikel https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC7581601/ yang bertajuk Tobacco Harm Reduction: Past History, Current Controversies and a Proposed Approach for the Future.

Sehubungan dengan itu, PPPKAM kekal berpendapat pendekatan harm reduction tidak membawa manfaat, malah memberikan potensi kesan klinikal jangka panjang terutama kepada mereka yang dalam kumpulan remaja dan muda. PPPKAM juga berpendapat, makluman dari NST berkenaan telah tidak disaring menggunakan pendekatan saintifik yang teliti, malah mengemukakan fakta falasi tanpa sebarang sandaran maklumat saintifik dari sebarang ujian klinikal mahupun ujian komuniti dalam konteks Malaysia.

 

Sehingga hari ini, kita tidak mempunyai sandaran bukti dari kajian tempatan yang mensahihkan kaedah pengurangan mudarat atau harm reduction ini lebih bermanfaat dari pendekatan GEG. Sesuai dengan prinsip kesihatan untuk semua yang menekankan aspek pencegahan lebih utama dari merawat, PPPKAM mengesyorkan agar kerajaan kekal melalui pendekatan semasa yang telah dilaksanakan serta misi yang yang telah dirancang melalui penggubalan undang-undang terhadap kawalan produk nikotin.

PPPKAM mencadangkan agar pendekatan berstrategi dan komprehensif untuk melindungi semua pemegang taruh dalam aspek kesihatan dapat  dilipatgandakan serta diutamakan. Ianya perlulah terlebih dahulu  dilaksanakan dengan jayanya sebelum sebarang promosi atau cadangan pertimbangan untung rugi mereka yang berkepentingan ekonomi terus diwar-warkan.

Sempena kemerdekaan ke-66 tahun ini, PPPKAM menyeru semua pihak berkepentingan untuk bertanggungjawab terhadap kesihatan generasi muda yang merupakan pemegang amanah mengemudi kedaulatan negara pada masa akan datang. Mendedahkan mereka kepada potensi bahaya kesihatan tanpa sandaran saintifik adalah tindakan tidak bertanggungjawab serta berupaya memudaratkan kesihatan negara dalam tempoh-tempoh dekad yang akan datang,

Sekian, terima kasih.

BERBAKTI KE ARAH KESEJAHTERAAN MASYARAKAT

PROF. MADYA DR. MALINA BINTI OSMAN
Setiausaha
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia
1 September 2023

Similar Posts