| |

VAPE BUKAN ALTERNATIF KEPADA PEROKOK TEGAR

KENYATAAN MEDIA

VAPE BUKAN ALTERNATIF KEPADA PEROKOK TEGAR

Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) ingin menarik perhatian media dan masyarakat terhadap keratan akhbar Harian Metro bertarikh 8 Jun 2023 di bawah tajuk  ”Perlaksanaan Terlalu Drastik”. Sorotan petikan tajuk berkenaan mendapati terdapat petikan dalam perenggan terakhir yang menyebut syor Pakar-pakar Perubatan Kesihatan Awam terhadap cadangan mengurangkan kemudharatan tembakau bagi membantu perokok tegar untuk berhenti merokok sebagai alternatif kurang memudaratkan seperti vape.

PPPKAM amat tidak bersetuju terhadap sebarang langkah alternatif (jika ada) yang didakwa dapat mengurangkan ketagihan perokok tegar melalui penggunaan vape. Ini kerana tidak ada kajian saintifik yang jelas dalam memberikan petunjuk secara klinikal bahawa langkah pengurangan kemudharatan itu mempunyai impak positif dan pengurangan kos jangka panjang terhadap mereka yang kekal mengambil nikotin melalui vape.

Sehingga kini, tidak ada garispanduan klinikal yang memuatkan secara terperinci kebaikan vape berbanding rokok untuk mengurangkan risiko serangan sakit jantung dan penyakit kardiovaskular yang lain, kanser paru-paru serta semua penyakit berkaitan  pengambilan nikotin. Tidak ada juga sebarang bukti bahawa pengambilan nikotin melalui cecair vape selamat serta bebas dari risiko penyakit. PPPKAM memandang serius impak negatif yang berpotensi mengakibatkan anak-anak kecil turut terjebak dengan ketagihan vape melalui pelbagai promosi dalam bentuk mainan serta kekeliruan masyarakat yang menganggap nikotin tidak lagi mempunyai kesan negatif terhadap kesihatan apabila ianya dinyahsenarai dari senarai racun baru-baru ini. Nyahsenarai berkenaan turut membuka ruang terhadap penyalahgunaan nikotin pada kepekatan berbeza yang mungkin merbahaya kepada pengguna berikutan ia tidak lagi dikawal melalui Peraturan Kawalan Tembakau.

Sehubungan dengan itu, PPPKAM berpendapat siaran dari kenyataan akhbar oleh Harian Metro  tersebut yang sekadar memetik sumber Pakar Perubatan Kesihatan Awam tanpa menyebut dengan jelas individu atau persatuan mana yang dijadikan sumber rujukan sebagai tindakan kurang prihatin dan tidak mengambilkira kesan dan impak negatif terhadap profesionalisme pakar-pakar perubatan kesihatan awam dan implikasinya terhadap masyarakat. Menyedari kepentingan tanggungjawab terhadap masyarakat, PPPKAM memohon akhbar Harian Metro memohon maaf serta memperbetulkan kenyataan tersebut.

PROF. DR. MOHAMED RUSLI BIN ABDULLAH
Presiden
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia
9 Jun 2023

Similar Posts