| |

LAKSANA SEGERA PENYENARAIAN SEMULA CECAIR NIKOTIN DALAM AKTA RACUN 1952

LAKSANA SEGERA PENYENARAIAN SEMULA CECAIR NIKOTIN DALAM AKTA RACUN 1952

Pembentangan Rang Undang-undang Baharu bagi Kawalan Produk Merokok di Parlimen oleh YB Menteri Kesihatan pada 12 Jun 2023  telah dirujuk ke Jawatan Kuasa Khas Kesihatan Parlimen (Health Parlimentary Special Select Committee) selepas bacaan pertama, dan ini sekaligus memberi petanda sama ada ianya akan diluluskan atau tidak akan mengambil masa. Ini juga bermakna penggunaan nikotin dalam rokok elektronik dan vape kekal tanpa diregulasi di bawah mana-mana peraturan khusus berikutan penyahsenaraian oleh kerajaan beberapa bulan lalu.

Sehubungan dengan itu, Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) memohon agar cecair nikotin untuk segera disenaraikan semula dalam Akta Racun 1952 untuk melindungi golongan kanak-kanak serta remaja dari terdedah kepada bahaya cecair berkenaan.

PPPKAM menyokong sepenuhnya usul oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA – Malaysia Medical Association) dan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS – Malaysian Pharmacists Society) yang  telah memohon  kerajaan untuk segera menyenaraikan semula cecair tersebut disebabkan situasi semasa yang memberi petunjuk Rang Undang-undang Baharu bagi Kawalan Produk Merokok bakal lewat untuk dimuktamadkan keputusannya.

Cecair nikotin yang  pada masa ini sudah dinyahsenarai dari senarai Akta Racun 1952 itu kini boleh diperolehi oleh sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak dan remaja di bawah umur. Ini sudah tentu berpotensi mendedahkan golongan berkenaan terhadap penggunaan bahan tersebut yang telah ditunjukkan melalui kajian klinikal boleh mengakibatkan impak negatif terhadap kesihatan.

PPPKAM sekali lagi ingin menegaskan bahawa tindakan segera dan serius perlu dilakukan bagi melindungi kesihatan generasi tersebut, dan sudah pasti kita tidak mahu generasi berkenaan menjadi mangsa terhadap salah-guna bahan berkenaan yang sepatutnya dikawal melalui kuasa pelaksanaan undang-undang.

Sekian, terima kasih.

“BERBAKTI KE ARAH KESEJAHTERAAN MASYARAKAT”

 PROF. DR. MOHAMED RUSLI BIN ABDULLAH
Presiden
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM)
13 Jun 2023

LAKSANA SEGERA PENYENARAIAN SEMULA CECAIR NIKOTIN DALAM AKTA RACUN 1952

Similar Posts