Sokongan Terhadap Usaha Kerajaan Terengganu dalam Pendidikan Pencegahan Seks Bebas dan Pemeliharaan Nilai Moral

Kami menyatakan sokongan terhadap inisiatif Kerajaan Negeri Terengganu dalam menyampaikan mesej pencegahan terhadap perlakuan homoseksual dan seks bebas melalui pemasangan papan tanda yang bersifat mendidik. Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha pendidikan kesihatan awam yang bertujuan memelihara nilai moral masyarakat serta mencegah penularan penyakit berjangkit seperti HIV.

Statistik terkini daripada Global AIDS Monitoring (GAM) Report 2024 yang diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan bahawa lebih 75 peratus kes baharu HIV pada tahun 2022 berlaku dalam kalangan individu berumur 20 hingga 39 tahun. Trend jangkitan juga telah berubah secara signifikan, daripada penggunaan jarum suntikan kepada penularan melalui hubungan seksual tanpa perlindungan sebagai punca utama.

Lebih membimbangkan, National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2022: Adolescent Health Survey melaporkan bahawa 5.7 peratus remaja sekolah menengah di Malaysia telah melakukan hubungan seks dalam tempoh 30 hari, manakala 7.6 peratus pernah melakukan hubungan seks. Ini menggambarkan bahawa tingkah laku seksual berisiko kini semakin meresap ke dalam kalangan pelajar dan remaja.

Pendidikan pencegahan amat penting untuk memastikan golongan muda memahami risiko sebenar yang berkait dengan hubungan seksual bebas dan songsang, termasuk jangkitan HIV dan penyakit kelamin lain. Sebagaimana kita melarang dan mencegah masyarakat daripada menghampiri dadah, rokok dan vape kerana mudarat kesihatan yang terbukti, kita juga perlu tegas dan jelas dalam mendidik masyarakat agar menjauhi perlakuan seks berisiko.

Kami menyeru agar semua pihak termasuk institusi pendidikan, ibu bapa, pemimpin masyarakat, profesional kesihatan dan organisasi masyarakat sivil bekerjasama memperkukuh pendidikan pencegahan ini. Hanya dengan pendekatan bersepadu yang berteraskan ilmu, nilai dan tanggungjawab sosial, kita dapat membina generasi yang sihat, berakhlak dan bermaruah.

Sekian, terima kasih.

“BERBAKTI DEMI KESEJAHTERAAN MASYARAKAT”

PROF. DR. JAMALLUDIN BIN AB RAHMAN
Presiden
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia
16 Mei 2025

Muat turun pdf DI SINI

Similar Posts