Wabak Penyakit Kaki, Tangan Dan Mulut (FHMD) Di Malaysia

Semalam Kementerian Kesihatan Malaysia telah melaporkan jumlah kes HFMD terus meningkat di seluruh negara. Kerajaan Pakatan Harapan, melalui YB Menteri Kesihatan dan pegawai-pegawai Kementerian Kesihatan di pelbagai peringkat terus memberi nasihat berkaitan langkah-langkah pencegahan dan kawalan kepada orang ramai.

Wabak HFMD dan pelbagai jenis penyakit berjangkit terutama yang disebabkan oleh virus yang berlaku secara meluas dan menyebabkan morbiditi yang tinggi sering berlaku di negara ini dari semasa ke semasa. Tahun-tahun sebelum ini negara kita pernah mengalami wabak seperti Virus Nipah, H1NI, EV71, Denggi dan lain-lain.

Kementerian Kesihatan sebagai sebuah kementerian yang mempunyai tenaga pakar, sistem survelan, peralatan dan sumber-sumber yang sentiasa berada dalam tahap kesiapsiagaan dan kualiti intervensi yang tinggi memang telah terbukti di peringkat dalam dan luarnegara.

Walaubagaimanapun, masyarakat dan pihak-pihak lain harus faham bahawa pencegahan dan kawalan penyakit yang disebabkan virus ini tidak selalunya dapat dicapai melalui pendekatan ubat-ubatan dan vaksin atau jenis-jenis rawatan perubatan.

Asas kepada aspek pencegahan dan kawalan ialah melalui amalan individu dan masyarakat tentang kebersihan diri, kebersihan persekitaran di kawasan tumpuan awam seperti sekolah, taska, tadika, tempat ibadat, kompleks perniagaan, riadah dan perniagaan.

Amalan mudah yang mesti dilakukan setiap keluarga antara lain ialah amalan membasuh tangan selepas ke tandas, sebelum makan, berurusan dengan anak kecil. Selain dari itu setiap keluarga terutama ibubapa dan penjaga mesti tahu gejala dan tanda bila anak-anak mendapat penyakit, membawa untuk pemeriksaan dan rawatan awal dengan segera. Setiap keluarga juga mesti tahu dan amalkan pengasingan di rumah apabila anak-anak mereka mempunyai gejala dan tanda-tanda penyakit berjangkit seperti HFMD tersebut. Jangan sesekali menghantar anak-anak tersebut ke tadika dan sekolah atau membawa mereka ke tempat-tempat tumpuan awam seperti pasaraya, kompleks sukan, majlis keramaian dan lain-lain.

Selain dari itu, pihak yang bertanggungjawab ke atas pusat-pusat tumpuan orang ramai yang berisiko menyebabkan penularan wabak ini mestilah mengambil langkah-langkah berbentuk saringan, nasihat dan pengasingan kepada mereka yang mendapat jangkitan HFMD. Di samping itu, pengusaha pusat ini juga perlu menyediakan kemudahan-kemudahan seperti tandas dan bekas pembuangan sampah yang bersih serta kemudahan membasuh tangan yang mudah dan senang didapati di setiap premis mereka.

Jika ini dapat diamalkan oleh semua pihak, sudah pasti penyakit-penyakit berjangkit bawaan virus ini dapat dicegah dan dikawal. Pihak-pihak selain daripada Kementerian Kesihatan dan masyarakat juga hendaklah memobilisasikan sumber-sumber mereka sendiri tanpa perlu bantuan atau arahan dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

Adalah diharapkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan lain-lain pihak berkuasa dapat mengembeleng sumber yang ada ke arah membudayakan sikap pencegahan adalah lebih baik dan mengurangkan penekanan kepada langkah-langkah pengubatan. Termasuk membendung promosi produk daripada pengusaha-pengusaha produk yang tidak berkesan dan “false-claim”.

Kami, ahli-ahli Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) di seluruh negara akan terus menyokong dan membantu Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak-pihak lain untuk pencegahan dan kawalan penyakit seperti HFMD ini.

DATO’ DR ZAINAL ARIFFIN BIN OMAR
Presiden,
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM)

6 Ogos 2018.

Similar Posts