|

KENYATAAN MEDIA : Bantahan Terhadap Usaha Ke Arah Semakan Kehakiman ke atas Perwartaan Larangan Merokok di Tempat Awam oleh Badan-badan Profesional Perubatan dan Kesihatan

KENYATAAN MEDIA
KHAMIS, 14 FEBRUARI 2019
Bantahan Terhadap Usaha Ke Arah Semakan Kehakiman ke atas Perwartaan Larangan Merokok di Tempat Awam oleh Badan-badan Profesional Perubatan dan Kesihatan

Kami, Persatuan-persatuan Profesional dalam bidang Perubatan dan Kesihatan di Malaysia menyatakan rasa kesal terhadap tindakan sekumpulan perokok yang membuat permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas perwartaan larangan merokok di tempat awam. Menurut sumber yang dipetik daripada media Berita Harian pada 29 Januari 2019, kumpulan perokok ini telah diberikan kebenaran untuk mengadakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah mewartakan larangan merokok di semua premis makan sejak 1 Januari 2019 yang lepas.

Dalam permohonan itu, mereka telah mempertikaikan larangan merokok yang diwartakan kerana mendakwa ia bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia Menurut dakwaan kumpulan ini, aktiviti merokok bukanlah satu perbuatan jenayah dan larangan ini telah menyekat hak kebebasan diri individu. Lebih mendukacitakan kesamarataan di antara perokok dan bukan perokok dikatakan telah dicabuli. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia didakwa mendiskriminasi golongan perokok daripada mengunjungi restoran dan tempat makan.
Sebagai badan profesional perubatan dan kesihatan, isu yang dibawa oleh sekumpulan perokok ini amat tidak berasas. Isu hak kebebasan diri sekumpulan perokok 7 orang ini tidak patut mengatasi hak kebebasan diri untuk menghirup udara yang sihat oleh kumpulan majoriti bukan perokok (77%) yang rata-ratanya terdiri daripada golongan wanita, kanak-kanak dan warga emas. Pada masa yang sama, undang-undang perlu diadakan bagi mewujudkan situasi agar membezakan kelakuan yang mendatangkan risiko kepada orang sekelliling.
Badan–Badan Profesional Perubatan dan Kesihatan sekali lagi membantah perkara ini kerana pendebatan isu penguatkuasaan larangan merokok bukan sahaja akan memberikan kesan larangan di premis-premis makan, malahan di kesemua 23 kawasan yang telah diwartakan sejak 15 tahun yang lepas di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.
Perwartaan larangan merokok di tempat-tempat awam yang dilaksanakan oleh kerajaan selama ini adalah bertujuan untuk melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok sekunder terutamanya kepada golongan wanita dan kanak-kanak. Kajian menunjukkan bahawa bukan perokok sahaja yang terkesan dengan bahaya asap rokok malah orang ramai di sekeliling juga berisiko untuk mendapat pelbagai penyakit akibat menyedut asap rokok ini.
Pihak kami juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia dan Biro Pengaduan Awam Jabatan Perdana Menteri atas kajian yang terperinci yang dijalankan bagi melihat impak kepada kesihatan masyarakat.
Menurut petikan rancangan Bicara Pengguna siaran RTM pada 11 Januari 2019, satu kaji selidik persepsi masyarakat berkaitan cadangan larangan merokok di restoran telah dijalankan oleh Biro Pengaduan Awam Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2017. Seramai 430 responden terdiri daripada orang awam dan 350 responden terdiri daripada pemilik premis perniagaan. Hasil kajian membuktikan majoriti responden yang terdiri daripada perokok semasa (58%), bekas perokok (85%) dan bukan perokok (97%) serta pemilik premis perniagaan makan (75%) bersetuju agar semua tempat makan dijadikan sebagai kawasan larangan merokok.
Manakala kaji soal selidik pada tahun yang sama yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di seluruh negara membuktikan hasil yang sama dimana 79.5% daripada 1379 responden bersetuju jika perwartaan larangan merokok di restoran dikuatkuasakan.
Kajian-kajian yang dijalankan ini membuktikan usaha mendapatkan pendapat dan maklumbalas daripada rakyat samaada daripada kalangan perokok, bukan perokok, bekas perokok dan pemilik premis makan telah pun dijalankan secara meluas, iaitu dua tahun sebelum undang-undang ini diwartakan oleh kerajaan.
Kami di sini ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan terutamanya pihak KKM yang telah berjaya mewartakan undang-undang ini pada 1 Januari yang lepas setelah 4 tahun tertangguh sejak ia mula dicadangkan pada tahun 2015. Keluhan masyarakat selama ini telah didengari dan rata-rata rakyat berpuas hati kerana bebas untuk menghirup udara yang segar tanpa asap rokok di tempat-tempat awam terutama tempat makan.
Kami sekali lagi menyatakan kekesalan ke atas semakan kehakiman ini dan sekiranya keadilan golongan majoriti bukan perokok dipersiakan kami badan Profesional Perubatan dan Kesihatan bersedia untuk berjuang mempertahankan perwartaan larangan ini demi menyelamatkan generasi anak-anak dan cucu cicit kami daripada bahaya asap rokok.
Walaubagaimanpun, kami tetap menghormati keputusan mahkamah dalam memberikan kebenaran untuk meneruskan hak pemohon ini sebagaimana yang termaktub di bawah perlembagaan negara.
Kami amat berharap YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, YAB Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan YB Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad akan kukuh dengan pendirian dalam mempertahankan undang-undang perwartaan larangan merokok di tempat awam ini daripada ditarik balik.
Kami yang menjalankan amanah:

Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia
Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health)
Medical Mythbusters Malaysia (M3)
Medical Tweet Malaysia (MedTweet)
Family Medicine Specialists Association of Malaysia (FMSA)
Ikatan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)
Malaysian Thoracic Society
Delegation of Nurses (DON)
Malaysian Integrated Medical Professionals Association (MIMPA)
Malaysian Academy of Pharmacy (MAP)
Malaysia Pharmaceutical Society (MPS)
Asthma Malaysia
Green Crescent Malaysia (GCM)
Malaysian Society Of Anaesthesiologists
College Of Anaesthesiologists, Academy of Medicine, Malaysia
Malaysian Society of Haematology
Malaysian Green Lung Association (Green Lung)
National Cancer Society of Malaysia (NCSM)
Malaysian Association of Adolescent Health (MAAH)
Islamic Medical Association of Malaysia (IMAM)
College of Emergency Physicians, Academy of Medicine, Malaysia
Malaysia Society of Ophthalmology
Society of Aeromedicine Malaysia
Malaysian Society of HIV Medicine
Malaysian Resuscitation Association (MyRES)
Malaysian Women’s Action for Tobacco Control and Health (MyWatch)
Malaysia Orthopaedic Foot and Ankle Society (MOFAS)
Persatuan Malaysian Male Nurses (MMN)
Family Medicine Association of USM (FAMOUS)
Consumers Association of Penang (CAP)
Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna-pengguna Malaysia (FOMCA)
Published by Google Drive–Report Abuse–Updated automatically every 5 minutes

Similar Posts