|

Kenyataan Media Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia mengenai Rokok elektronik / vape

 

Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam (PPKAM) menyokong sepenuhnya keputusan kabinet Jemaah Menteri berkaitan kawal selia rokok elektronik dan vape di Malaysia, terutamanya kawalan ke atas sediaan yang mengandungi nikotin dikekalkan di bawah Akta Racun 1952. Nikotin telah didaftarkan sebagai racun sejak dahulu dan penggunaannya hendaklah dihadkan kepada bentuk rawatan semata-mata.

Rokok elektronik dan vape pada dasarnya lebih banyak membawa kemudaratan kepada masyarakat. Berdasarkan hasil Kajian Kebangsaan Rokok Elektronik / Vape dalam Kalangan Dewasa dan Remaja 2016 yang telah dijalankan oleh Institut Kesihatan Umum, PersatuanPakar Perubatan Kesihatan Awam ingin menggariskanbeberapa perkara yang perlu diambil perhatian iaitu:

  1. Rokok elektronik / vape bukan satu kedah berhenti merokok konvensional yang berkesan.

 Rokok elektronik / vape sering digambarkan sebagai satu kaedah baru yang berkesan untuk menghentikan tabiat menghisap rokok secara konvensional. Hasil kajian di atas menunjukkan bahawa majoriti pengguna rokok elektronik / vape bukan bertujuan untuk menghentikan tabiat merokok. Hanya 16.2% daripada pengguna rokok elektronik / vape bertukar daripada rokok konvensional dengan tujuan untuk berhenti merokok dan 9.6% sahaja bertujuan untuk mengurangkan tabiat merokok.

Sebahagian besar pengguna rokok elektronik / vapedi Malaysia iaitu 47% hanya ingin mencuba-cuba, manakala selebihnya bertujuan untuk menggantikan rokok dan juga mengurangkan kos tanpa berniat untuk berhenti daripada tabiat merokok. Kajian juga mendapati kebanyakan perokok yang telah berjaya berhenti merokok, tidak menggunakan rokok elektronik / vape sebagai kaedah berhenti merokok.

Dalam kalangan perokok yang telah berhenti merokok, hanya 8.5% menggunakan rokok elektronik / vape sebagai kaedah berhenti merokok.

Kajian juga mendapati bahawa hampir separuh daripada pengguna rokok elektronik / vape semasa, 48.4% cuba untuk berhenti menggunakan rokok elektronik / vape dalam tempoh 12 bulan yang lepas, 60.4% daripadanya berhenti hanya lebih daripada 1 bulan sebelum kembali menggunakan rokok elektronik / vape. lni menunjukkan bahawa kebanyakannya yang menukar kepada tabiat rokok elektronik / vape gagal untuk meninggalkan terus tabiat merokok.

  1. Mengambil kira pandangan majoriti orang awam ke atas rokok elektronik / vape.

Majoriti orang awam mahu rokok elektronik / vape dilarang penggunaannya di tempat-tempat larangan merokok iaitu 91.8%. Manakala 75% pula merasakan bahawa rokok elektronik tidak membantu perokok untuk berhenti merokok dan meIebihi 60% mahu rokok elektronik / vape diharamkan sepenuhnya.

  1. Masyarakat terdedah kepada wap rokok elektronik / vape.

Berdasarkan kajian, dianggarkan 3.6 juta rakyat Malaysia terdedah kepada wap rokok elektronik / vape di tempat kerja dan 3.0 juta pula terdedah kepada wap rokok elektronik / vape di rumah. Sepertimana rokok konvensional, pendedahan asap rokok / vape secara tidak langsung ini juga boleh memberi kemudaratan kepada kesihatan.

  1. Mengelakkan budaya baru yang tidak sihat di kalangan remaja.

Penggunaan rokok elektronik / vape bukanlah satu amalan murni yang perlu dijadikan budaya di kalangan masyarakat kita terutamanya kepada para remaja. Kajian ini mendapati bahawa 9.1% (300,000) pelajar merupakan pengguna rokok elektronik / vape semasa; di mana daripadajumlah tersebut, 83.3% (250,000) adalah pelajar lelaki manakala 16.7% (50,000) pelajar perempuan. Selain daripada itu sebanyak 29.6% (560,000) remaja lelaki dan 8.3% (150,000) remaja perempuan pernah mencuba rokok elektronik / vape.

Alasan utama (77.3%) dalam kalangan remaja untuk memulakan penggunaan rokok elektronik / vape adalah kerana suka dengan perisa dan bau. Lebih dari 60.0% pula mula menggunakannya kerana ingin bereksperimentasi dan merasakan rokok elektronik / vape lebih selamat dari rokok biasa (63.6%).

Tidak mustahil peratusan remaja yang terlibat dengan rokok elektronik / vape akan menjadi semakin meningkat terutamanya tiada kawalan penjualan memandangkan pada masa ini, punca utama mereka menggunakan rokok elektronik / vape adalah kerana ia begitu mudah diperolehi.

Kajian menunjukkan punca utama mendapatkan rokok elektronik / vape di kalangan remaja adalah daripada kawan iaitu 43.3% diikuti dengan 17.5% mendapatkannya daripada membeli dari kedai / kiosk di pusat membeli belah. Terdapat juga 10.3% remaja yang mendapatkannya daripada ahli keluarga. Terdapat juga 15.0% mendapatkannya daripada orang lain, 7.2% mendapatnya digerai kaki lima / pasar malam dan 4.6% membelinya di dalam talian.

Penggunaan rokok elektronik / vape tanpa nikotin hendaklah dikawal dengan ketat agar penggunaannya tidak mempengaruhi mereka yang tidak merokok dan juga pelajar-pelajar sekolah serta generasi akan datang. PPPKAM bersetuju ia dikawal penggunaannya di bawah Akta baru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dipertanggungjawabkan bagi memastikan keselamatan pengguna diutamakan selaras Dasar Pengguna Negara (DPN).

Rokok elektronik sama ada mengandungi nikotin atau tidak, akan mendatangkan kesan sampingan kepada kesihatan. Oleh kerana itu pihak kerajaan sewajarnya melarang terus penggunaannya.

Namun begitu keputusan bahawa rokok elektronik yang mengandungi nikotin kekal di bawah Akta Racun 1952 serta penggunaan tanpa nikotin akan dikawal di bawah Akta baru KKM yang menggantikan Peraturan-PeraturanKawalan Hasil Tembakau 2004  merupakan satu titik permulaan agar ia dapat dilarang di masa hadapan.

Akhir sekali, Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan syabas kepada pada YAB Perdana Menteri Malaysia dan barisan kabinet kerana mewujudkan satu bentuk kawalan yang ketat kepada racun yang memudaratkan seperti nikotin dan seterusnya keprihatinan kerajaan di dalam menjamin kesihatan rakyat Malaysia terutama golongan majoriti (80%) yang tidak merokok.

 

BERBAKTI KE ARAH KESEJAHTERAAN MASYARAKAT

 

Yang benar,

WAN MANSOR BIN HAMZAH
Presiden
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia

30 Disember 2016

Similar Posts