Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia No. 47-2, Jalan Putra Permai 1A, Taman Equine, 43300 Seri Kembangan, Selangor secretary@pppkam.org.my +603-89413715

KENYATAAN MEDIA: PEMANSUHAN BAYARAN INSENTIF PERKHIDMATAN KRITIKAL (BIPK) KEPADA PEGAWAI LANTIKAN BARU MULAI 1 JANUARI 2020 BOLEH MENJEJASKAN DAN MEWUJUDKAN KRISIS KEPADA PERKHIDMATAN KESIHATAN NEGARA

1. PPPKAM sangat menghargai usaha kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia yang sentiasa berusaha meningkatkan kuantiti dan kualiti perkhidmatan kesihatan negara kepada rakyat dari dulu hingga sekarang. Kami juga sedar tentang kekangan sumber termasuk kewangan yang dihadapi oleh kerajaan dan KKM pada masa ini.

 

2. PPPKAM juga menghargai tindakan Kerajaan meluluskan bajet yang besar untuk KKM dalam pembentangan bajet 2020 serta tindakan kerajaan meluluskan 10,675 jawatan tambahan pelbagai kategori bagi menampung keperluan fasiliti baru dan perkhidmatan sediada.

 

3. Walaubagaimanapun keputusan Kerajaan untuk tidak memberikan Bayaran Elaun Insentif Kritikal (BIPK) kepada anggota lantikan baharu beberapa kategori jawatan di KKM mulai 1 Januari 2020 dianggap tidak lagi meletakkan perkhidmatan perubatan dan kesihatan sebagai perkhidmatan kritikal.   Semestinya keputusan ini akan memberi kesan negatif kepada perkhidmatan kesihatan negara terutama merendahkan semangat pegawai muda serta merencat pembangunan perkhidmatan perubatan dan kesihatan termasuk kepakaran pada masa depan.

 

4. JPA mendefinisikan Perkhidmatan Kritikal sebagai perkhidmatan yang sangat diperlukan oleh Kerajaan, mempunyai ciri-ciri penawaran yang rendah serta pengisian jawatannya sukar dilakukan.  Keputusan kerajaan menarikbalik BIPK adalah berdasarkan definisi tersebut.  Sebaliknya, Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1, antara lain merumuskan bahawa terdapat kekurangan kakitangan di fasiliti kesihatan kerajaan, mempunyai beban kerja yang tinggi, melebihi keupayaan tenaga kerja yang sedia ada. Jelaslah, asas pengiraan nisbah dan keperluan perjawatan di KKM oleh pihak JPA adalah tidak tepat sama sekali.

 

5. Definisi perkhidmatan kritikal oleh JPA yang berasaskan kriteria tawaran melebihi permintaan untuk pengisian jawatan, patut dilihat dari aspek keperluan sebenar, ciri-ciri perkhidmatan kesihatan, permintaan rakyat yang belum tertunai dan perkhidmatan yang semakin berkembang.

 

6. Kerajaan kini dilihat mengambil kesempatan di atas pengorbanan kakitangan kesihatan menjalankan perkhidmatan sediada dan baru dengan bekerja lebih masa, keadaan tempat kerja yang tidak kondusif, bekerja di kawasan pedalaman yang sukar demi menyampaikan perkhidmatan dan menjamin kesihatan yang terbaik kepada rakyat walaupun dengan kekurangan kakitangan dan sumber.

 

7. Keputusan pemberhentian elaun ini dilihat sebagai reaktif, tanpa perancangan strategik dan bersifat regresif dan penyelesaian sementara.  Pemberhentian  elaun  kritikal ini boleh mencetuskan krisis kepada perkhidmatan kesihatan negara dan krisis kepercayaan kepada kerajaan.

 

8. Dengan ini, Kerajaan digesa supaya menyemak semula norma dan nisbah perjawatan pelbagai kategori, skop perkhidmatan dan fasiliti sesuai dengan keadaan semasa dan akan datang.

 

9. PPPKAM mendesak supaya pemansuhan BIPK ini disemak semula atau mewujudkan insentif baru khusus untuk kakitangan perubatan dan kesihatan Negara.

 

10. Penyelesaian sumber penyampaian perkhidmatan kesihatan Negara perlu dilihat dan ditangani secara menyeluruh.  Sudah sampai masanya Kerajaan membuat keputusan yang berani dan tepat dalam menangani isu dan cabaran dalam perkhidmatan kesihatan negara untuk masakini dan masa depan.  Kerajaan yang bijaksana akan melaksanakan Tranformasi Sistem Kesihatan yang menyeluruh dengan mewujudkan Sistem Pembiayaan Kesihatan Kebangsaan, Integrasi Perkhidmatan Awam & Swasta serta Penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan Negara yang berautonomi.

 

11. Kerajaan Malaysia perlu memberi keutamaan kepada perkhidmatan kesihatan untuk memastikan rakyat yang sihat sejahtera, menyumbang kepada ekonomi Negara untuk mencapai visi Kemakmuran Bersama dan mengelakkan krisis kepercayaan rakyat kepada Kerajaan.

 

“BERBAKTI KE ARAH KESEJAHTERAAN MASYARAKAT”

 

Ikhlas,

DATO’ DR. ZAINAL ARIFFIN BIN OMAR

Presiden

Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia