SOKONGAN KEPADA CADANGAN KERAJAAN MEWAJIBKAN PENGAMBILAN IMUNISASI UNTUK KANAK-KANAK DI MALAYSIA

Kami Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) menyokong penuh cadangan YB Menteri Kesihatan Malaysia bagi mewajibkan pengambilan imunisasi untuk kanak-kanak di Malaysia malah turut menggesa Kerajaan melaksanakannya secepat mungkin. Dan imunisasi ini hendaklah diberi hanya oleh profesional kesihatan terlatih seperti jururawat dan doktor.

Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP) telah diperkenalkan pada awal tahun 1950-an. NIP Malaysia dirangka berdasarkan Program Perkembangan Untuk Imunisasi (EPI) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Sehingga kini NIP Malaysia telah memberi perlindungan terhadap 12 jenis penyakit kanak-kanak secara percuma kepada bayi dan kanak-kanak di klinik kerajaan. 12 jenis penyakit berjangkit tersebut ialah oleh tuberculosis (batuk kering), hepatitis B, difteria, pertussis (batuk kokol), poliomyelitis, Haemophilus influenza type b, measles (demam campak), mumps (beguk), rubella, human papillomavirus (HPV) dan Japanese encephalitis (JE).

Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, WHO dan banyak lagi Pertubuhan-Pertubuhan dan Agensi Kesihatan seluruh dunia, imunisasi adalah antara cara paling kos efektif untuk mengelakkan jangkitan penyakit berjangkit dan membantu mengurangkan antara dua hingga tiga juta kematian setahun. Dan di Malaysia, kejadian penyakit dan kematian akibat penyakit-penyakit tersebut semakin terkawal dan berkurangan.  Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan kes Demam Campak meningkat sebanyak 891.8% dari tahun 2013 [195 kes (125 kes daripadanya – tiada imunisasi) ] hingga tahun 2018 [ 1,934 kes (1,467 kes daripadanya – tiada imunisasi) ]. Beberapa negara ASEAN seperti Filipina, Indonesia dan Brunei telah pun mewajibkan imunisasi kepada kanak-kanak terhadap beberapa penyakit tertentu di negara masing-masing.

Bagi mendapat faedah yang berkesan dalam mengurangkan penyakit-penyakit tersebut, paras liputan kanak-kanak yang mendapat imunisasi lengkap mestilah di paras melebihi 80%. Jika tidak, penyakit ini akan memberi risiko tinggi kepada golongan tertentu yang rentan seperti kanak-kanak di bawah umur imunisasi, golongan yang mempunyai penyakit kronik, yang sedang menjalani rawatan kimoterapi dan golongan warga emas.

Walaupun NIP telah lama berjalan dan mencapai liputan yang tinggi di Malaysia, namun  akhir-akhir ini terdapat golongan yang menolak imunisasi dan lebih membimbangkan lagi mereka mempengaruhi masyarakat dengan pelbagai alasan. Perbuatan ini jika tidak dibendung akan membahayakan kanak-kanak dan golongan tertentu serta merugikan rakyat dan negara akibat kos menguruskan penyakit-penyakit tersebut.

Akhir sekali, kami dari Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia menyokong sepenuhnya cadangan YB Menteri Kesihatan dalam isu mewajibkan pengambilan imunisasi kepada kanak-kanak di Malaysia.

Dato’ Dr Zainal Ariffin bin Omar
Presiden,
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia
27 February 2019

Similar Posts