COVID-19: PASCA PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN BERSYARAT (PKPB) 9 JUN 2020
1. Malaysia telah melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) selama hampir 3 bulan bermula dari 18 Mac 2020.
2. Tindakan dan pematuhan PKP dan PKPB oleh semua pihak, di samping aktiviti-aktiviti “search, test, isolate & treat” dan kuarantin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah berjaya melandaikan lengkuk epidemik COVID-19 dan menyelamatkan sistem kesihatan negara dari terjejas teruk seperti yang dialami di Itali dan beberapa kota di USA. Disamping itu juga, dari data terkini menunjukkan kita telah berjaya mengurangkan risiko penularan tempatan dan mempunyai kadar kematian kes COVID-19 yang rendah (1.4%). Usaha kerajaan mengawal pandemik telah mendapat pujian masyarakat tempatan dan juga antarabangsa.
3. Berdasarkan pencapaian kawalan terkini, Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Kerajaan khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM dan kerana telah mengambil tindakan yang cepat dan tepat. Tahniah juga kepada Rakyat Malaysia, agensi-agensi kerajaan yang lain dan NGO yang bekerjasama erat dan akur kepada saranan Kerajaan dalam mematuhi garispanduan atau Prosedur Operasi Standard (SOP).
4. Cabaran seterusnya adalah untuk Kerajaan dan semua rakyat Malaysia secara kolektif untuk komited dalam memulih dan mengaktifkan semula kehidupan rakyat yang merangkumi sektor utama seperti ekonomi, pembangunan, pendidikan, budaya dan keagamaan di samping mengawal penularan COVID-19 supaya tidak menjadi ancaman yang teruk kepada kesihatan awam.
5. Berdasarkan fakta epidemiologi, statistik serta situasi semasa jangkitan adalah diyakini oleh masyarakat global bahawa COVID-19 akan kekal berada dalam komuniti (endemik) dalam tempoh yang lama sehinggalah rawatan khusus seperti anti-viral dan vaksin ditemui. Masyarakat tidak boleh terus menerus berada dalam PKPB dalam tempoh yang tidak diketahui penghujungya kerana kesan terhadap ekonomi dan sosio-budaya dijangka akan memberi impak lebih buruk kepada masyarakat dan pembangunan negara. Disamping itu, pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh Perdana Menteri juga sukar untuk dirancakkan dengan PKPB dan sekatan rentas negeri yang dilaksanakan ketika ini.
6. Oleh itu, kita tiada pilihan lain selain membiasakan diri dengan norma baru dalam mengelakkan jangkitan COVID-19 serta merancak dan membangunkan semula sektor ekonomi, pembangunan, pendidikan, sosio-budaya, keagamaan dan lain-lain.
7. PPPKAM mencadangkan agar Kerajaan menamatkan PKPB semasa, tetapi KKM terus mengekalkan mekanisma pemantauan, penyaringan terarah (targeted) dan rawatan kepada mereka yang berisiko jangkitan COVID-19 seperti pelawat dari negara jangkitan tinggi COVID-19, mereka yang bergejala dan kontak rapat pesakit COVID-19. Sekatan berfokus secara pentadbiran dilaksanakan kepada kawasan atau lokaliti dan golongan tertentu yang berisiko COVID-19. Agensi Kerajaan sedia ada seperti KKM, MKN, PDRM, APM boleh terus melaksanakan tugas-tugas tersebut.
8. PPPKAM juga mencadangkan agar pembukaan semula sektor lain seperti pendidikan, ekonomi dan sosio-budaya dengan pematuhan kepada SOP pencegahan jangkitan COVID-19 dan terus menerus mendidik masyarakat untuk membiasakan norma baru seperti memakai penutup muka, penjarakan sosial, kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau guna hand sanitizer dan elak 3 Cs iaitu crowded place, confined space dan close conversation.
Sekian, terima kasih
BERBAKTI KE ARAH KESEJAHTERAAN MASYARAKAT
Ikhlas,
DATO’ DR. ZAINAL ARIFFIN BIN OMAR
Presiden
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Malaysia (PPPKAM)
7 Jun 2020